EKONOMI

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS

01/07/2024 07:30 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas diniagakan dalam jajaran kecil pada sepanjang hari, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.7120/7155 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 semasa ditutup Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar/ringgit AS meraih paras serendah RM4.7130 semasa sesi pagi namun meningkat sehingga RM4.7158 pada sesi petang.

“Dolar AS berbanding yen kekal menerima tumpuan apabila mata wang Jepun merosot kepada 161.80 yen.

“Kerajaan Jepun menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya, menurun daripada -1.8 peratus kepada -2.9 peratus pada suku pertama tahun ini, menunjukkan Bank of Japan mungkin mengelak daripada menaikkan kadar dasarnya tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Secara umumnya, beliau berkata situasi semasa masih memihak kepada dolar AS dan data pada minggu ini akan menjadi agak penting untuk menentukan sama ada Rizab Persekutuan mungkin melaksanakan lebih banyak pengurangan kadar tahun ini.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9254/9278 daripada 2.9345/9365 semasa ditutup pada Jumaat lepas tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.9706/9750 daripada 5.9639/9676 sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 5.0682/0720 daripada 5.0494/0526 pada akhir minggu lepas.

Ringgit pula kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang serantau Asean.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4772/4801 daripada 3.4792/4816 semasa ditutup pada Jumaat, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8329/8481 daripada 12.8508/8646 sebelumnya dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.04 daripada 8.05/8.06 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 288.7/289.0 daripada 287.9/288.3 sebelum ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan