POLITIK

PRK SG BAKAP: PENGUNDI ATAS PAGAR AKAN KEMBALI SOKONG PH-BN - CIKGU JOOHARI

03/07/2024 08:21 PM

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Pengundi atas pagar akan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kata calon PH bagi PRK itu Dr Joohari Ariffin.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan respons positif yang diterima daripada pengundi atas pagar ketika tempoh kempen, sekali gus memperlihatkan kecenderungan mereka untuk memilih PH-BN. 

“Ada pelbagai faktor kecenderungan itu berlaku antaranya (kewibawaan) calon dan usaha jentera kempen yang bekerja kuat. Saya sangat hormati dan teruja dengan sumbangan yang jentera berikan.

“… sebab itu, saya yakin mereka akan pusing balik (kembali menyokong) sepertimana pada pilihan raya-pilihan raya dulu. Yang (pengundi) putih pula, insya-Allah (tetap menyokong PH),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih ke rumah seorang bekas kakitangan Jabatan Laut di Kampung Permatang Ara, Sungai Jawi, di sini hari ini.

Turut menyertai beliau dalam program itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Berbaki hanya tiga hari lagi berkempen, Joohari berkata usaha untuk mendekati semua pengundi termasuk secara fizikal dan dalam talian sudah hampir selesai.

Beliau turut berharap usaha itu dapat menyumbang kepada jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu mencecah 80 peratus.

Bekas guru itu juga berkata sekiranya kemenangan berpihak kepadanya 6 Julai ini, ia adalah hadiah yang paling bermakna buat dirinya yang akan menyambut hari jadi pada 17 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan