AM

EWON KETUAI DELEGASI MALAYSIA KE MISI PERDAGANGAN FRANCAIS ANTARABANGSA DI BANGKOK

09/07/2024 03:19 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan mengetuai delegasi Malaysia ke Misi Perdagangan Francais Antarabangsa di Bangkok, Thailand selama empat hari bermula esok.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi itu turut disertai wakil dari kementerian dan agensi di bawah KUSKOP antaranya Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Vendor dan Francais KUSKOP Aidi Azli Wahit, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia Datuk Dr Radzali Hassan.

Turut serta, wakil dari tujuh syarikat francais yang beroperasi di negara ini iaitu IrisPro, FatNinjas, MuzArt, MyeongDong Topokki, Cleanpro, D’Tandoor dan Global Art.

Menurut kenyataan itu, Ewon akan merasmikan Pavilion Malaysia sempena Expo Thailand Franchise Business Opportunities 2024, esok dan seterusnya mengadakan perbincangan meja bulat dengan Persatuan Francais Thailand.

Menurut KUSKOP, Ewon turut dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Phumtham Wechayachai bagi membincangkan kerjasama perdagangan dalam sektor francais.

“Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Bangkok dan melawat dua syarikat francais di Thailand,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan