AM

PM SENTIASA UTAMAKAN KEJAYAAN, KEMAJUAN KOMUNITI INDIA - RAMANAN 

10/07/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani permasalahan dan hala tuju masyarakat India dalam negara cukup konsisten dari masa ke semasa, dan sentiasa mengutamakan kejayaan dan kemajuan segala program berkaitan kaum India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan berkata Perdana Menteri mahukan segala program berkaitan kaum India "diperkasakan dan ditambah nilai".

“Justeru kita melancarkan Program SPUMI Goes Big - Tambahan RM30 juta, Pemerkasaan Wanita India melalui Amanah Ikhtiar Malaysia-Tambahan RM50 juta, dan yang terbaru BRIEF-I melalui Bank Rakyat - RM50 juta. 

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan peruntukan tambahan RM130 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini, dalam tempoh empat bulan lepas sahaja,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Ramanan berkata ini meliputi tambahan RM50 juta bagi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Selain itu kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"SPUMI sejak 2008 hingga 2024 tidak pernah ada penambahan dana. Namun hari ini kerajaan memperuntukkan RM60 juta (secara keseluruhan) untuk SPUMI.

"Sebelum ini dana untuk usahawan wanita India (PENN) hanya RM20 juta tetapi hari ini Kerajaan MADANI bagi RM70 juta iaitu tambahan RM50 juta," katanya.

Beliau berkata hanya Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri yang menunjukkan keprihatinan dan telah memberikan peruntukan yang besar kepada masyarakat India di Malaysia, berbanding kerajaan terdahulu.

Justeru beliau meminta kaum India untuk memanfaatkan peruntukan yang dikhaskan kepada mereka itu, supaya tidak ada golongan yang tercicir.

Ramanan berkata 25,559 usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan di bawah Skim SPUMI bernilai RM45.7 juta di seluruh negara sejak 2008 hingga Mei 2024.

Mengenai Skim SPUMI Goes Big pula beliau berkata 67 permohonan bernilai RM2.78 juta daripada 106 permohonan diterima sejak dilancarkan pada 3 April telahpun diluluskan, manakala 30 permohonan sedang diproses.

"Semua penambahbaikan skim itu merupakan langkah bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, sekali gus merealisasikan transformasi sosioekonomi negara," katanya.

Ramanan berkata Kerajaan Perpaduan sedang melakukan perubahan besar untuk masyarakat India, dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif serta program bagi kaum minoriti itu. 

Beliau berkata Perdana Menteri mahukan masa depan masyarakat India khususnya dalam sektor ekonomi diperkasakan lagi dan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberikan keutamaan kepada program bantuan pembiayaan kewangan. 

"Setiap kali setelah sesuatu program dirancang, saya mendapatkan sokongan daripada Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick sebelum diangkat dan dipersembahkan kepada Perdana Menteri untuk kelulusan.  Beliau sentiasa sokong dan bantu,” katanya.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR turut menyelar tindakan sekumpulan individu yang dilihat ‘mempergunakan’ kaum India sebagai modal politik untuk kepentingan politik yang terlalu ‘desperado ‘.

Beliau menasihatkan komuniti India supaya tidak cepat ‘terpedaya’ dengan segala permainan politik fanatik berbaur fitnah di sosial media yang semakin berleluasa dan mendapatkan maklumat yang sahih. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan