AM

CHERRY ON TOP PIKAT DATUK SYAFINAZ BERDUET DALAM SINGLE KETAGIH

09/07/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Biarpun baru setahun bertapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan rock progresif  Cherry on Top yang dianggotai oleh enam anak muda, berjaya memikat hati diva soprano Datuk Syafinaz Selamat untuk berkolaborasi dalam album single pertama mereka berjudul Ketagih.

Terasa seakan mimpi, vokalisnya Adriana Audrey Michael, 23, atau lebih dikenali sebagai Holy, menyifatkan peluang berduet dengan penyanyi tersohor itu sebagai pembakar semangat untuknya mengasah vokal agar lebih mantap.

“Saya sejujurnya speechless bila dapat berduet dengan diva seperti Datuk Syafinaz, tapi pada masa sama saya bersyukur dia (Syafinaz) beri kepercayaan kepada band kami yang masih belum dikenali ramai,” katanya ketika ditemui selepas program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Satu-satunya ahli wanita dalam kumpulan itu, anak kelahiran Papar, Sabah tersebut tidak bimbang akan dibandingkan dengan suara guru vokal berkenaan, kerana percaya setiap individu ada kelebihan dan keunikan tersendiri. 

Sementara itu, pemain papan nada (keyboard), Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham atau Kuzan, 22, pula berkata syarikat rakamannya, One Scream Studio, memilih Syafinaz untuk digandingkan dalam lagu ‘Ketagih’ yang berkisar tentang kesan ketagihan terhadap peranti, kerana kepakaran penyanyi tersebut dalam muzik klasik.

“Pihak pengurusan memilih Datuk Syafinaz sebab lagu ini adalah lagu rock progresif yang turut menyelitkan elemen klasik, memang sesuai dengan beliau,” jelasnya. 

Menurut Kuzan, lagu itu sendiri digubah oleh bapanya Raja Mohd Sham, sementara lirik ditulis oleh Syafinaz.

“Secara peribadi, ada baris lirik yang saya suka, iaitu ‘bangkit semula, bebas terbang’ kerana menunjukkan cara seseorang melawan ketagihan tersebut,” kongsinya lagi.

Mengulas lanjut, Kuzan yang juga pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, berkata kumpulannya akan mengeluarkan satu lagi single pada bulan depan bagi melengkapkan EP (Extended Play) yang keseluruhannya akan memuatkan lima lagu, termasuk Mengintai Rahsia, Menunggu, Resolusi dan  Ketagih versi panjang. 

“Buat masa ini tiga buah lagu dah siap termasuk lagu Ketagih, lagi dua baru nak rakam, iaitu Resolusi dan satu lagi masih dalam peringkat pembikinan, belum ada lirik dan tajuk,”katanya yang bercita-cita mahu melebarkan sayap seni ke tahap antarabangsa.

Selain Holy dan Kuzan, kumpulan itu dianggotai oleh pemain gitar Osama Yamani, 23, pemain dram, Ayen Tommy, 25, serta pasangan adik-beradik yang masing-masing pemain gitar dan bass iaitu Didi, 22, dan Bobo, 18.

Selain Kuzan yang berdarah seni, dua lagi anggota kumpulan turut mewarisi bakat ayah masing-masing, iaitu Osama Yamani yang merupakan anak Datuk Jamal Abdillah, dan Ayen Tommy pula adalah anak kepada Black, iaitu pemain dram kumpulan rock Wings.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan