DUNIA

RINGGIT SUSUT BERBANDING DOLAR US PADA PENUTUP

16/07/2024 07:49 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih lemah berbanding dolar US pada hari dagangan kedua minggu ini berikutan pemantauan pasaran ke atas perkembangan politik Amerika Syarikat (AS) termasuk hala tuju pemotongan kadar AS dan tarifnya ke atas China. 

Pada 6 petang, ringgit susut lagi kepada 4.6745/6790 berbanding dolar AS daripada 4.6725/6745 semasa ditutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran telah beralih ke arah pilihan raya presiden AS menjelang November nanti, yang menunjukkan kebimbangan terhadap Donald Trump berikutan dasar ekonominya yang akan memihak kepada pemotongan cukai dan pengenaan tarif terhadap China.

“Akhirnya, ia mungkin memberi kesan ke atas inflasi dan akan mengalihkan pandangan pasaran daripada pengurangan kadar AS. Ia masih tidak menentu tetapi politik AS boleh sekali-sekala mencuri perhatian berbanding persekitaran Rizab Persekutuan (Fed). Kes asas sekarang ialah Fed berada di landasan yang betul untuk mengurangkan kadar kerana inflasi telah menurun dan terdapat tanda-tanda pasaran buruh yang mula stabil,” katanya.

Moody's Investors Service berkata dalam satu nota bahawa Fed boleh memulakan pelonggaran dasar dengan pemotongan 25 mata asas (bp) seawal mesyuarat 30-31 Julai.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata terdapat motivasi tinggi bagi pelabur asing untuk melabur dalam ekuiti Malaysia, disokong melalui ulasan positif oleh broker-broker asing tentang pasaran Malaysia.

“FBM KLCI masih dianggap dibawah nilai, jadi ini akan meningkatkan ringgit kerana ia berkesan mewujudkan permintaan terhadap ringgit,” tambahnya.

Untuk dagangan hari ini, mata wang tempatan dibuka pada 4.6718 berbanding dolar US, mencecah paras rendah 4.6805 pada siang hari dan ditutup pada 4.6745/6790.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia telah meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9503/9534 daripada 2.9578/9593 semalam, mantap berbanding pound British kepada 6.0614/0673 daripada 6.0658/0684 dan menokok berbanding euro kepada 5.0938/0987 daripada 5.0991/1013.

Bagaimanapun, ia didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia melantun semula berbanding dolar Singapura kepada 3.4783/4819 daripada 3.4810/4827 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 288.8/289.3 daripada 288.9/289.2 sebelumnya.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.01 daripada 7.99/7.99 dan melemah berbanding baht Thailand kepada 12.9459/9634 daripada 12.9007/9116.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan