AM

‘RUMAH ASAP’ DEDAH TEKNIK SELAMATKAN DIRI DARIPADA KEBAKARAN

05/07/2024 05:02 PM

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Demonstrasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang kebiasaannya lebih kepada cara menangkap ular mahupun memadam kebakaran kali ini tampil dengan kelainan menerusi ‘smoke house’ atau rumah asap yang dibawa istimewa kepada pengunjung Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur. 

Bertempat di hadapan Perpustakaan Awam Pahang, bersebelahan Dataran Sayangi Kuantan, aktiviti rumah asap ini memberi fokus teknik menyelamatkan diri daripada kebakaran khususnya kepada kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak mereka mencuba aktiviti di rumah asap selain cuba menggayakan anak-anak mereka dengan pakaian seragam pasukan keselamatan itu. 

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang Zulfaidi Zakaria berkata pendedahan sebegini penting kerana dalam kebanyakan kes kebakaran, mangsa biasanya meninggal dunia disebabkan lemas dalam asap.

“Apabila kebakaran berlaku, asap wap panas dan asap akan naik ke atas dan udara sejuk dan oksigen berada di bawah. Bila kita berdiri dalam keadaan ini, kita sukar untuk bernafas dan tinggi kemungkinan tidak akan terima oksigen dengan cukup, seterusnya boleh mengakibatkan pengsan.

“Sebab itulah, penting untuk kita selamatkan diri dengan cara merangkak kerana udara segar berada di bawah dan lebih mudah lihat laluan keluar kerana belum dipenuhi asap dan ini yang kami ajarkan menerusi rumah asap,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata melalui aktiviti rumah asap, pengunjung bukan sahaja diberi penerangan, malah turut merasai sendiri situasi seakan-akan kebakaran dalam ruang yang kecil, gelap, panas dan berasap selain orang ramai dapat melihat bagaimana pasukan ini melakukan kerja menyelamat ketika operasi kebakaran. 

Selain rumah asap, Zulfaidi berkata demonstrasi penyelamatan kemalangan jalan raya dan air, forensik kebakaran, alatan serta inovasi pasukan keselamatan dan peluang kerjaya turut dibawa sepanjang tiga hari Program MADANI Rakyat.

“JBPM bawa pelbagai aktiviti kepada pengunjung meliputi pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak sehingga dewasa termasuk mereka yang ingin cuba atau mengetahui bagaimana untuk menyertai pasukan JBPM,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dilihat dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan