JENAYAH & MAHKAMAH

KETUA PEGAWAI OPERASI DITAHAN, DISYAKI TERIMA RASUAH MELEBIHI RM 300,000

16/07/2024 09:35 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Seorang ketua pegawai operasi (COO) syarikat konsesi lebuh raya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000.

Menurut sumber lelaki berusia sekitar 50-an itu, ditahan kira-kira 8 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menerima rasuah berjumlah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 billion,” kata sumber.

Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari sehingga Jumaat depan, setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan