AM

DUTA BAHRAIN TEKANKAN PENGUKUHAN HUBUNGAN SEJARAH DENGAN MALAYSIA

10/07/2024 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Duta Baharu Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea menegaskan kepentingan menyokong dan memperteguh  hubungan sejarah yang kukuh antara Malaysia dan Bahrain serta meningkatkan hubungan itu ke tahap baharu untuk manfaat bersama.

Kenyataan itu dibuat ketika Al Manea menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, ibu negara Malaysia pada Selasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Bahrain di Malaysia, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada duta negara itu atas pelantikannya, mengharapkan kejayaan dalam misi diplomatiknya dan menekankan sokongan Seri Paduka Baginda terhadap usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Kerajaan Bahrain dan Malaysia di semua peringkat.

Pada majlis itu, Al Manea menyampaikan salam daripada Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa, serta Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa kepada Sultan Ibrahim.

Duta itu juga menyampaikan harapan Sheikh Hamad dan Sheikh Salman agar Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan serta pembangunan dan kemakmuran yang berpanjangan untuk Malaysia, menurut kenyataan itu.

Sultan Ibrahim juga menzahirkan permintaan baginda kepada Al Manea untuk menyampaikan salam kepada Raja dan Putera Mahkota Bahrain, dan harapan Yang di-Pertuan Agong agar Kerajaan Bahrain menjadi lebih maju dan makmur.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan