AM

LAPORAN POLIS MASIH BOLEH DIBUAT WALAUPUN PINTU PAGAR BALAI POLIS DITUTUP 10 MALAM

10/07/2024 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Laporan polis masih boleh dibuat walaupun pagar balai polis ditutup selepas 10 malam sebagai langkah memperketatkan kawalan dan keselamatan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan jawapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat semalam, secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman. 

"Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan tersebut ditafsirkan semula oleh sesetengah pihak sebagai 'tutup pagar' secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam," menurut kenyataan itu. 

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin Nasution semasa menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) berkata  pintu pagar balai polis ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, baru-baru ini.

Arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi antara keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas, katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa dihubungi semalam, berkata penyampaian perkhidmatan polis masih berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap boleh membuat aduan dan laporan walaupun pintu pagar ditutup.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan