AM

PINDAAN AKTA PEMAJU PERUMAHAN DIJANGKA DIBENTANG DI PARLIMEN TAHUN DEPAN - NGA

10/07/2024 03:31 PM

 

 

IPOH, 10 Julai (Bernama) — Pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi melaksanakan tindakan lebih tegas kepada pemaju yang terlibat dengan penipuan projek perumahan dan projek terbengkalai dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Menteri Perumahan dan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata pada masa ini kementeriannya sedang giat melakukan libat urus dengan pemegang taruh bagi memastikan pindaan itu nanti akan memberi keadilan kepada semua pihak termasuk pembeli hartanah.

“Kita akan dengar dari semua pihak, termasuk REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia), persatuan pembeli rumah sebelum buat apa-apa keputusan...pindaan bakal kita bentang pada 2025,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara di sini hari ini.

MoU berkenaan bertujuan untuk menyelamat dan memulih projek perumahan sakit dan terbengkalai di Perak.

Terdahulu Nga dilaporkan berkta melalui pindaan itu kelak pemaju yang terlibat dalam kes penipuan atau projek terbengkalai akan didakwa dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM250,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu Nga berkata KPKT berjaya menyelamatkan 663 projek sakit dan terbengkalai termasuk menyelamatkan lebih 64,000 pembeli rumah dalam tempoh kurang dua tahun.

Katanya, penyediaan dana khas jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion juga diyakini akan dapat menyelamatkan lebih banyak projek sakit dan memberi kelegaan kepada lebih ramai pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan