AM

PARLIMEN: PECAH TANAH PROJEK KAMPUNG SUNGAI BARU AKHIR TAHUN INI - DR ZALIHA

10/07/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Operasi pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur di bawah Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 akan dilaksanakan akhir tahun ini dengan kerja pembinaan djangka bermula suku pertama 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata projek pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sekian lama merupakan isu legasi yang diwarisi dan memerlukan tekad politik jika mahu diselesaikan.

“Hala tuju projek ini memerlukan ‘keputusan yang objektif’ bukannya ‘keputusan yang populis semata-mata, sebagaimana yang sering dicanangkan mantan yang lain.

“Dalam masa enam bulan semenjak saya menerajui Wilayah Persekutuan, projek pembangunan semula yang sudah terbengkalai sekian lama ini, yang sudah pun menginjak ke tahun kelapan, kini akhirnya bakal dapat dimulakan sedikit masa lagi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai  status terkini projek pembangunan semula kawasan itu.

Pada masa sama, Dr Zaliha memberi komitmen bahawa Kampong Bharu akan kekal sebagai simbol kemajuan orang Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan ikon komersial orang Melayu pada masa hadapan, dengan beliau akan memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 dilaksanakan secara telus dan mampan.

Mengulas lanjut mengenai isu Kampung Sungai Baru, Dr Zaliha berkata beliau berkesempatan bertemu dengan kedua-dua pihak berkepentingan kawasan itu iaitu masing-masing, pihak yang bersetuju dengan tawaran usaha sama (JV) pihak pemaju dan pihak yang tidak menerima tawaran JV.

“Walau bagaimanapun, setelah pertimbangan dibuat, saya berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru,” katanya.

Beliau berkata antara asas pertimbangan ialah urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah, dan pemberian tambahan pampasan diberikan antara 10 hingga15 peratus oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

Selain itu, beliau berkata golongan minoriti yang tidak menerima tawaran JV telah diberikan penempatan sementara dan pernah diberikan peluang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan lebih besar, selesa, dan nilai terjamin yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjian JV dengan pihak pemaju.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan