AM

AUDIT BEBAS TERHADAP HRD CORP LANGKAH TEPAT KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT - PAC

11/07/2024 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik tindakan proaktif Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong melaksanakan pengauditan bebas terhadap Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata, ia membuktikan Sim berpegang kepada janji untuk tidak menyembunyikan sebarang kebenaran, dan menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Syarikat Jaminan Kerajaan itu.

“Walaupun perkara dilaporkan PAC dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan ketika Yang Berhormat Sim menjadi Menteri Sumber Manusia, tetapi kesanggupan beliau membuat keputusan melantik firma audit bebas berdasarkan penemuan PAC dan JAN perlu menjadi contoh kepada menteri Kabinet lain,” katanya. 

Menurut LKAN Siri 2/2024, terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut dilapor sebelum ini mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan, digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata PAC mahu penemuan dan dapatan pengauditan audit bebas itu kemudiannya dibentangkan kepada jawatankuasa itu apabila kementerian itu dan HRD Corp dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan, September ini. 

Semalam, Sim berkata juruaudit profesional pihak ketiga akan dilantik bagi mengaudit HRD Corp demi menjamin ketelusan dalam audit bebas, susulan laporan JAN dan PAC berhubung operasi syarikat itu dari 2019 hingga 2023.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan