AM

KEDUDUKAN ENAM AHLI PARLIMEN BEKAS AHLI BERSATU: KEPUTUSAN SPEAKER BERDASARKAN PERLEMBAGAAN, UNDANG-UNDANG - PM

11/07/2024 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bertindak berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang, semasa memutuskan enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu kekal sebagai wakil rakyat. 

Beliau berkata Johari juga membaca dan membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara keseluruhannya, dan perkara itu seharusnya diketahui dengan jelas oleh pimpinan parti Bersatu. 

Perdana Menteri berkata ini kerana parti Bersatu telah menentang supaya keahlian sesiapa (Ahli Parlimen) yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan. 

"Kita tahu, kerana kita semasa itu sebagai pembangkang yang berkeras mahu masukkan bahagian kalau dipecat sekali pun mesti gugur, tetapi mereka menentang. Ini semua ada rekodnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Global MADANI Forum 2024 di sini hari ini. 

Forum dua hari bermula semalam dengan tema 'Catalysing The Next Civilisational Revival' itu turut dihadiri Johari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong. 

Anwar berkata walaupun beliau tidak menyertai perbincangan itu, namun beliau difahamkan ia dihadiri oleh wakil kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook. 

Ditanya jika keputusan Johari boleh 'memakan diri', sekiranya selepas ini ada Ahli Parlimen menarik sokongan terhadap kerajaan tanpa perlu bimbang kehilangan kerusi masing-masing, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa 'ia adalah berdasarkan undang-undang’.

"Ini bukan ikut soal PM (Perdana Menteri). Ini mengikut Perlembagaan dan tafsiran undang-undang. Itu kita serah kepada Speaker," katanya.

Semalam Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari pada lewat petang 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. 

Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu terlibat adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lepas Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee berkata notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen berkenaan telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian parti pada 12 Jun lepas apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

Muhyiddin dalam masa yang sama turut menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Speaker itu memandangkan MPT telah memutuskan bahawa enam individu terbabit dihentikan keahlian, justeru tidak lagi mewakili Bersatu di Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata pihaknya akan mengambil langkah susulan dengan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyifatkan Muhyiddin pada sidang media berkaitan kedudukan enam kerusi Parlimen itu semalam, sebagai 'bercerita separuh’ dalam isu berkenaan.

"Saya tidak tahu mengapa dia (Muhyiddin) pilih baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Mungkin itu kaedah kerja politik Bersatu. Kempen-kempen sebegitu (dengan) bercerita sebahagian seperti BlackRock dan tinggal sebahagian, itu tidak betul kerana perlu dibaca sepenuhnya," katanya. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan