AM

PARLIMEN: RM86.3 JUTA DI SALUR SETAKAT INI BAGI PELAKSANAAN KAMPUNG ANGKAT MADANI

11/07/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sejumlah RM86.3 juta daripada keseluruhan RM100 juta peruntukan disalurkan kepada kementerian dan agensi yang terlibat bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI setakat ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia meliputi 35 daripada sasaran 42 kampung di bawah program itu yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, dengan setiap kampung menerima peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek.

“Objektif pelaksanaannya adalah untuk mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan projek kecil di kampung, merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, melengkapkan kemudahan asas desa terpinggir secara holistik dan mengenal pasti kaedah terbaik penyelesaian masalah.

“Kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah kampung adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan kemudahan asas,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai matlamat utama pelaksanaan Kampung Angkat MADANI berbanding dasar sedia ada dan kriteria utama pemilihan kampung angkat.

Amir Hamzah berkata kampung yang terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI akan dijadikan penanda aras terbaik dalam membantu kerajaan merapatkan jurang antara desa dan bandar. 

“Ini termasuk memperkasakan ketua mukim atau jawatankuasa kampung dan komuniti setempat melalui pendekatan gotong-royong serta memudahkan tatacara perolehan dan kewangan untuk membantu melengkapkan projek infrastruktur di kampung-kampung yang terpilih,” katanya. 

Beliau berkata program itu memberi tumpuan projek fizikal termasuk menambah baik jalan kampung, lampu jalan, bekalan air dan elektrik, serta kemudahan capaian Internet, selain projek bukan fizikal seperti pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat, e-Kasih, Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta perkhidmatan bergerak kerajaan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan