AM

PARLIMEN: KADAR KITAR SEMULA KEBANGSAAN KINI 35.38 PERATUS

11/07/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan program Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) sejak 1 Sept 2015 hingga kini merekodkan peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 35.38 peratus.

Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pihaknya optimis mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan pada tahun depan menerusi pelaksanaan SAS.

“Sejak program ini dilaksanakan, terdapat peningkatan jumlah kutipan barangan kitar semula yang diasingkan dan dikitar semula iaitu 29,123.73 tan berbanding sebelumnya, sebanyak 498 tan.

“Selain itu, peningkatan bilangan premis yang disemak bagi pematuhan pelaksanaan SAS iaitu bagi premis bertanah sebanyak 45 peratus telah dipantau, manakala premis bertingkat sebanyak 30 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu keberkesanan SAS sejak dilaksanakan, sambil menjelaskan bahawa dalam tempoh pelaksanaan juga, sebanyak 605 notis pemberitahuan kesalahan dan 441 notis kompaun dikeluarkan.

Menjawab soalan tambahan Dr Wan Azizah mengenai langkah kerajaan memastikan amalan kitar semula pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan lebih baik, Aiman Athirah berkata kerajaan telah menyediakan program yang amat baik, namun ia harus disebarluaskan.

“Sebenarnya soalan yang Yang Berhormat ini juga merupakan wake-up call dan dijawab di dalam Parlimen supaya menyedari bahawa kita ada program dan penguatkuasaan, cumanya program ini hanya terpakai di tujuh negeri yang menandatangani Akta 672.

“...ini antara perkara yang harus kita santuni supaya elemen kempen dapat disebarluaskan dan dapat difahami semua peringkat,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah mewajibkan perintah pengasingan sisa pepejal di punca atau daripada rumah bermula 1 Sept 2015 melibatkkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan