AM

BADAN KEHAKIMAN RAKAM UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA TUN MOHAMED DZAIDDIN

12/07/2024 12:23 AM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mewakili badan kehakiman Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia malam ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan menyebut Mohamed Dzaiddin yang merupakan Ketua Hakim Negara dari 20 Dis 2000 hingga 15 Mac 2003 telah banyak berjasa kepada badan kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.

Mohamed Dzaiddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Prince Court malam ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan