AM

KAJIAN INDUSTRI PADI, BERAS NEGARA TERMASUK DAKWAAN KARTEL MASIH BERJALAN - KPKM

12/07/2024 01:52 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) masih menjalankan kajian terhadap industri padi dan beras di dalam negara termasuk berhubung dakwaan wujud kartel dalam industri itu, demikian menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam kenyataan hari ini, KPKM menegaskan ia tidak akan mencampuri sebarang urusan kajian yang dilakukan oleh MyCC dan telah memberikan kerjasama penuh dengan memberikan segala maklumat dan maklum balas lanjut dari semasa ke semasa kepada pihak MyCC.

“KPKM mengulangi pendirian bahawa tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan kartel padi beras sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPKM masih menunggu hasil kajian yang dijalankan oleh MyCC dan menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkannya kepada pihak MyCC untuk tindakan lanjut,” menurut KPKM.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada satu artikel dalam ruangan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, yang antara lain menzahirkan harapan agar kajian MyCC berhubung dakwaan kartel itu dapat membawa perubahan dalam industri beras negara.

Kementerian itu turut memaklumkan susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 1/2024 pada 19 Mac lepas, KPKM telah diminta meneruskan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

“Ia untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kebajikan pesawah dan kepentingan pengguna serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara,” menurut KPKM.

Kebajikan pesawah juga terus menjadi keutamaan KPKM dan antara inisiatif kerajaan ialah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 hingga RM500, harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik dan Insentif Pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar serta memperkenalkan Insentif Penuaian pada kadar RM50 per hektar.

Menurut KPKM lagi, perbincangan bersama pihak berkepentingan sedang dijalankan dan kementerian berharap dapat memuktamadkan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian terbaik isu padi dan beras seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pada 23 Feb lepas dilaporkan mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Sambil menegaskan kepentingan langkah itu, Anwar berkata peningkatan penguatkuasaan juga akan memastikan tiada pemborong atau pengilang bertindak mencampurkan kandungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) untuk dijual pada harga yang tinggi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan