AM

KKM AKAN AMBIL TINDAKAN TERHADAP PENGAMAL PERUBATAN PALSU

12/07/2024 03:27 PM

IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan palsu dipercayai warga asing yang menjalankan pusat perkhidmatan perubatan estetik tanpa lesen serta tidak bertauliah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata beliau akan membawa perkara itu ke Mesyuarat Pasca Kabinet supaya agensi bertanggungjawab menyiasat dengan lebih terperinci.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kerana dipercayai aktiviti tersebut dijalankan secara haram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di sini hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa KKM menjalankan siasatan segera terhadap pengamal perubatan palsu dipercayai warga asing dan premis kecantikan miliknya yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata ini selepas seorang wanita yang menjalani pembedahan payudara membabitkan kos RM23,400 pada 21 Jun 2022 mengalami kesakitan selepas terperdaya melakukan pembedahan di pusat perkhidmatan perubatan estetik tanpa lesen akibat tertarik dengan tawaran di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Lukanisman berkata tindakan beberapa pekerja lelaki berbadan sasa yang menjual durian tanpa memakai baju di sebuah gerai dipercayai di Kajang, Selangor tidak sesuai dalam proses penyediaan makanan kerana ia melibatkan kebersihan diri.

"Walaupun bertujuan meningkatkan hasil jualan tetapi tindakan tersebut tidak boleh dicontohi penjual makanan lain kerana ia membabitkan penjualan buah-buahan, tidak membuat penyediaan makanan yang bermasak,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial beberapa pekerja lelaki berbadan sasa menjual durian dengan tidak memakai baju.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan