AM

PUSAT TRANSIT GELANDANGAN P. PINANG TAWAR SESI PADANAN KERJA

12/07/2024 08:56 PM

GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang yang dibina oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Jalan Magazine, di sini bukan sahaja menyediakan tempat berteduh kepada gelandangan namun turut membantu dari sesi padanan kerja.

Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim berkata pihaknya membantu mencari pekerjaan sesuai kepada gelandangan bagi membolehkan mereka mengubah taraf kehidupan dan kembali semula kepada masyarakat.

Beliau berkata sebanyak 84 gelandangan berusia 30 hingga 50 tahun yang sebelum ini menghuni Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini telah memperoleh pekerjaan yang sesuai sejak September tahun lepas hingga semalam.

"Mereka yang memperoleh pekerjaan dapat kembali ke dalam sistem masyarakat semula dan bagi tempoh sama, penghuni di situ ialah sebanyak 333 orang, 290 daripadanya telah keluar dengan 84 daripada telah memperoleh pekerjaan manakala baki masih menghuni 44 orang.

"Mereka kembali bekerja selepas sesi padanan kerja dan antaranya menjadi pengawal keselamatan dan pencuci bangunan serta telah memperoleh pendapatan sendiri untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen kitar semula di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Lim berkata Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang yang beroperasi sejak Ogos tahun lepas itu telah membantu mengurangkan jumlah gelandangan di kawasan pusat bandar George Town.

Kita belum menjadi negeri sifar gelandangan kerana bukan mudah untuk mencapai perkara ini, tetapi dengan adanya pusat ini jumlah gelandangan yang menghuni stesen-stesen bas dan kaki lima di pusat bandar telah berkurangan," katanya.

Sementara itu, Lim berkata stesen kitar semula yang dilancarkan di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang itu merupakan langkah penting untuk memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.

Katanya pada peringkat awal, pusat kitar semula itu akan beroperasi untuk kegunaan penghuni di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang tersebut dan memberi tunjuk ajar serta latihan bagi  memastikan mereka memahami dengan baik tentang amalan kitar semula.

"Setelah asas yang kukuh dibina, pusat ini akan dibuka kepada orang awam untuk hari kutipan mingguan yang ditetapkan dan akses awam ini menandakan kejayaan penghuni dalam mengamalkan tabiat pengasingan sisa yang bertanggungjawab," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan