AM

LKAN: PROSES PEROLEHAN LCS MERUJUK PEMBINAAN TERDAHULU - MOHAMED KHALED

13/07/2024 05:11 PM

MACHANG, 13 Julai (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung proses pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang dikatakan berada pada tahap rendah adalah merujuk kepada status pembinaan terdahulu, dan bukan yang terkini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan LCS diteruskan sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan, malah pihaknya telah meluncurkan kapal LCS pertama ke dalam air untuk ujian pada 23 Mei lepas.

"Pelaksanaan pembinaan LCS pertama setakat ini mengikut jadual dan perancangan ditetapkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga 31 Disember 2022 adalah rendah, berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Jumlah perolehan itu jauh lebih rendah berikutan hanya empat kapal diterima atau 22.2 peratus dengan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan enam kapal LCS, 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan