AM

RM100 JUTA DIBELANJA UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT INDIA PADA 2023

13/07/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM100 juta telah dibelanjakan sepenuhnya bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India pada tahun lepas untuk golongan B40.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan peruntukan itu telah dibelanjakan bagi 216 program yang menyasarkan 134,247 peserta dengan melibatkan tiga skop.

“Skop Program Pembangunan Modal Insan Masyarakat India melibatkan 43 program dengan kos RM35,278,580.46 yang disasarkan kepada 21,321 peserta manakala skop Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya Masyarakat India pula, sebanyak 113 program dengan kos RM35,034,811.90 disasarkan kepada 83,883 peserta.

“Skop Program Pembangunan Sosial dan Kebajikan, Kerohanian dan Kesejahteraan Masyarakat India melibatkan 60 program dengan kos RM29,686,607.64 yang disasarkan kepada 29,043 peserta,” kata beliau bagi menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) .

Pada 24 Jun lepas, Sivakumar menyoal Perdana Menteri mengenai perbelanjaan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi 2023 dan jumlah dana yang telah dibelanjakan bagi tahun ini serta rancangan pembangunan ekonomi masyarakat India yang berimpak tinggi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan setakat Jun lepas, MITRA telah merancang empat program dengan anggaran kos RM40 juta yang akan menyasarkan 15,300 orang.

Menurut Perdana Menteri, program itu kini dalam proses mendapatkan kelulusan dan akan dilancar dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan