AM

JBPM TERENGGANU REKOD HAMPIR 2,000 KES KEBAKARAN SEJAK JANUARI

14/07/2024 03:30 PM

KUALA NERUS, 14 Julai (Bernama) -- Sebanyak 1,969 kes kebakaran direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu di seluruh negeri ini bermula Januari hingga 1 Julai lepas.

Timbalan Pengarahnya Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata kebakaran itu melibatkan hutan, belukar, kebun, bangunan, kenderaan, perkakas, dapur dan lain-lain.

Beliau berkata kebakaran belukar atau lalang mencatat kes paling tinggi iaitu sebanyak 1,167 kes.

"Selain itu, sebanyak 269 kes kebakaran melibatkan kenderaan dan struktur juga sedang disiasat melibatkan kerugian hampir RM11 juta.

"Sehingga kini JBPM Terengganu masih menerima laporan kebakaran belukar, hutan dan lalang. Bagaimanapun keadaan cuaca sekarang yang sedikit hujan sangat membantu proses pemadaman api," katanya ketika ditemui pada Perhimpuan Bulanan JBPM Terengganu di sini hari ini.

Mohd Khairiri berkata dalam tempoh sama pihaknya telah menjalankan 983 tugas menyelamat bagi kes kecemasan, kemalangan jalan raya, bangunan dan struktur, bencana alam, mencari dan menyelamat, tumpahan dan kebocoran serta lain-lain.

JBPM Terengganu juga, katanya terlibat dalam 127 siri tugas khas termasuk gotong-royong dan bantuan kepada anggota keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

"JBPM bakal menerima enam lagi jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bermula tahun depan bagi memudahkan operasi di kawasan bandar yang sesak, sibuk dan kawasan laluan sempit.

"Tambahan CFRT dapat menyelesaikan masalah kekurangan jentera dan meningkatkan mutu perkhidmatan pasukan bomba kepada masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan