AM

RAWATAN TCM DIMANTAPKAN DENGAN DATA, BUKTI KAJIAN SAINTIFIK

15/07/2024 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pengumpulan data dan bukti kajian saintifik berkaitan perubatan tradisional Cina (TCM) boleh memantapkan lagi pengaplikasian kaedah rawatan itu yang semakin berkembang di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sehingga kini, sebanyak 15 hospital kerajaan telah mengamalkan TCM sejak 2009.

"Namun, sekarang perubatan tradisional ini ada data dan bukti (kajian saintifik), jadi kita hendak memasukkannya dalam satu daripada (kaedah) rawatan sebagai pelengkap kepada rawatan konvensional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai Amalan Perubatan Tradisional Cina berdasarkan Bukti di sini hari ini.

Beliau berkata antara rawatan yang diaplikasikan Kementerian Kesihatan (KKM) ialah akupunktur dan urutan bagi menangani pesakit unik seperti penghidap sakit sendi.

Dr Muhammad Radzi berkata seminar selama dua hari yang dianjurkan dengan kerjasama China Academy of Chinese Medical Sciences mengumpulkan sebanyak 70 pengamal perubatan tempatan dan akademia untuk menambah baik kualiti dan keselamatan TCM berdasarkan garis panduan dengan perkongsian beberapa pakar dari China.

Seminar berkenaan juga membuka ruang bagi pakar perubatan TCM dari Malaysia dan China bertukar-tukar pandangan dan pengalaman berkaitan kaedah perubatan itu.

"Melalui seminar ini, kita hendak jadikan ia (TCM) lebih mantap dengan mengumpulkan data-data mengenai perubatan tradisional Cina, jadi bila ada data, akan beri keyakinan lagi untuk rawatan berkenaan," katanya.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Guideline on TCM Nursing Procedures in Private Healthcare Facilities in Malaysia dalam usaha KKM untuk mempromosikan pengamalan rawatan tradisional itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Muhammad Radzi berkata pengesahan rawatan melalui penyelidikan saintifik yang rapi akan meningkatkan kredibiliti dan penerimaan TCM termasuk dalam kalangan pengamal, pesakit dan badan kawal selia di seluruh negara.

"Pengesahan saintifik menyediakan asas untuk membangunkan peraturan dan piawaian, selain membolehkan penyeragaman protokol rawatan bagi memastikan konsistensi dalam amalan TCM," katanya.

Mengulas mengenai garis paduan prosedur kejururawatan TCM di fasiliti swasta yang dilancarkan hari ini, Dr Muhammad Radzi berkata ia menekankan komitmen kementerian untuk mengintegrasikan TCM ke dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM), Jabatan Kerjasama Antarabangsa Cina Dr Wu Zhen Dou dan Kaunselor Sains dan Teknologi, Kedutaan China di Malaysia Dr Zhao Xiang Dong.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan