AM

MALAYSIA, BRUNEI DALAM PROSES RUNDINGAN MUKATAMAD SEMPADAN DARAT NEGARA - MOHAMAD

16/07/2024 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Brunei kini dalam proses rundingan bagi memuktamadkan sebarang perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) berhubung persempadanan darat kedua-dua negara yang meliputi jarak sepanjang 528.45 kilometer (km). 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata buat masa ini, kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan telah meliputi 175.96 km atau 33.3 peratus daripada keseluruhan jarak sempadan.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha selesaikan isu persempadanan berpandukan garis masa yang telah dipersetujui iaitu selewat-lewatnya tahun 2034. Malaysia akan terus berunding dengan Indonesia dan Brunei melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi memuktamadkan persempadanan darat dan maritim,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong (GPS-Lawas) mengenai usaha kerajaan dalam menentukan garisan sempadan darat dan maritim di antara Malaysia, Brunei dan Indonesia pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau berkata Malaysia telah menandatangani 33 perjanjian sempadan daratan dan sembilan perjanjian maritim berhubung sempadan Malaysia dengan negara-negara jiran setakat ini.

Mohamad berkata bagi Malaysia dan Indonesia, jarak sempadan yang telah dimuktamadkan adalah sepanjang 1,943.2 km iaitu 94.2 peratus daripada 2,064 km menerusi pemeteraian 22 perjanjian.

“...manakala, bagi persempadanan maritim yang terbaru, kedua-dua negara telah meterai perjanjian Selat Melaka dan perjanjian Laut Sulawesi pada 8 Jun 2023 di Putrajaya. Perjanjian ini akan dikuat kuasa dan dilaksana sepenuhnya setelah kedua-dua pihak menyempurnakan proses dalaman masing-masing,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Henry berhubung isu beratur panjang bagi keluar masuk kenderaan di sempadan Brunei dan Sabah, Mohamad berkata perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Brunei bagi membincangkan penyelesaian isu pengurusan imigresen dan jumlah tempat pemeriksaan (check point).

“Rundingan demi rundingan telah diadakan dan minggu depan, insya-Allah saya akan di Brunei untuk kita mengadakan mesyuarat pemeteraian perjanjian (exchange of letters).

“Baru-baru ini pihak pegawai kanan kerajaan Malaysia dan Brunei telah mengadakan rundingan supaya kita dapat mencapai kata sepakat untuk kita terus memastikan persefahaman kedua-dua negara,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil jalan berhati-hati melibatkan isu kedaulatan negara dan sebarang pemeteraian perjanjian persempadanan maritim atau daratan hanya akan dilaksanakan setelah mengambil kira semua perkara yang sensitif termasuk berkaitan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan