FOKUS BERNAMA

SENTUHAN SENI ANYAMAN ROTAN ETNIK PENAN DI LUSONG LAKU

16/07/2024 11:30 AM


From Balkish Awang

Jarak dari Bintulu ke kawasan pedalaman Lusong Laku, Belaga lebih 200 kilometer, kira-kira 10 jam perjalanan … sesungguhnya teramat mencabar. 

Dari bandar Bintulu ke Simpang Murum, Bakun, perjalanan lancar, mengambil masa sekitar tiga jam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD), tidak termasuk lima jam menggunakan laluan bukan jalan biasa,

Cabaran getir bermula untuk ke Lusong Laku yang walaupun hanya sejauh kira-kira 35 kilometer tetapi mengambil masa kira-kira lima jam kerana terpaksa meredah jalan balak yang bukan sahaja berselut tetapi berlopak dan berlubang, selain menyusuri tebing sungai dan kawasan curam. 

Di sepanjang perjalanan, sesekali kami dilibas reranting pokok dan ada juga kalanya terpaksa berpaut kepada tempat duduk untuk mengelakkan daripada terjatuh akibat hentakan kuat 4WD yang kami naiki apabila melalui jalan yang sukar. 

Itulah antara pengalaman penulis serta empat lagi wakil media tempatan semasa mengikuti Program Media Turun Padang di Sarawak, anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) selama empat hari pada 27 hingga 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk 'Ainu Sham Ramli turut menyertai rombongan bagi meninjau perkembangan komuniti kraf anyaman rotan etnik Penan.

Biarpun terpaksa menempuh perjalanan yang begitu menguji ketahanan mental dan fizikal, kakitangan Kraftangan Malaysia terus gigih untuk mendekati serta menggerakkan pelbagai usaha bagi mengangkat seni kraf anyaman rotan sekaligus membolehkan etnik Penan di Lusong Laku menjana pendapatan menerusi Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK).

 

SENTUHAN ETNIK PENAN

Program lawatan media bermula pada keesokannya  (Sabtu 29 Jun) apabila kami dibawa mengunjungi sebuah rumah panjang di Lusong Laku yang mempunyai 73 pintu dan dihuni oleh 600 orang terdiri daripada etnik Penan.

Berikutnya, kami dibawa ke bengkel dan galeri kraf anyaman rotan atau dikenali Rumah Kraf Tangan Lusong Laku. Ia adalah satu projek naik taraf di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia yang dibangunkan pada tahun 2022, bagi membolehkan komuniti ini menghasilkan produk mereka.

pic-2

Sejurus memasuki laman bengkel, mata terpana melihat pelbagai produk anyaman rotan yang dihasilkan oleh wanita Penan ini yang kreatif menghasilkan beg galas, sandang, sumpit serta tikar.

Di satu sudut kelihatan sekumpulan wanita Penan masing-masing anggun berkebaya dan memakai kalung kepala yang dianyam daripada rotan, tekun menganyam produk masing-masing. 

Mangorit Lingoi, 30, ketika ditemui memberitahu penulis, dia mula belajar menganyam sejak dari usia kanak-kanak dengan menghasilkan produk seperti beg yang bersaiz kecil dan kemudian kepada saiz besar.

Suri rumah itu, antara 25 peserta PPKK berkata, mereka bukan sekadar menganyam, tetapi turut perlu ke hutan bagi mendapatkan bekalan rotan.

"Setelah memperoleh rotan kami membuang kulit, mencuci kemudian membilasnya. Rotan juga perlu dijemur dan direbus. Untuk proses ini sahaja akan mengambil masa beberapa hari. Selepas itu baharulah anyaman boleh dibuat," kata ibu kepada dua cahaya mata itu yang mengambil masa satu hari untuk menyiapkan sebuah beg. 

Dalam tempoh sebulan Mangorit mampu menyiapkan kira-kira 20 buah Bakul Ajat (tradisional) dan selepas mendapat tunjuk ajar pihak Kraftangan Malaysia, dia juga mampu menghasilkan beg jenis kontemporari.

Bagi Nyutai Awi,45, antara produk yang memberikan cabaran sudah tentu tikar kerana memerlukan tempoh tiga minggu untuk menyiapkannya, berikutan produk ini menggunakan rotan yang banyak.

Bagaimanapun, ibu kepada enam orang cahaya mata itu bertuah kerana memiliki tiga orang anak perempuan yang berminat dalam seni anyaman rotan dan turut membantunya.

Berhubung usaha yang dijalankan Kraftangan Malaysia, wanita itu amat bersyukur kerana dapat menimba lebih banyak ilmu berhubung penghasilan pelbagai produk serta rekaan sekali gus dapat membantu kaum wanita Penan di Lusong laku menjana pendapatan.

pic-4

Nyutai berkata, produk anyaman penduduk Penan juga dijual di kawasan sekitar selain menjadi pilihan pelancong yang datang ke Lusong Laku dan mereka juga turut menerima tempahan daripada guru dan jururawat yang bertugas di kawasan itu.

Kraftangan Malaysia pada tahun 2021 menyalurkan khidmat bantuan kemahiran dalam tiga fasa kepada komuniti Penan di Lusong Laku.

Fasa pertama pada 16 hingga 19 Ogos 2021 iaitu memberi pendedahan asas teknik menganyam rotan menggunakan acuan kayu sementara fasa kedua pada 13 hingga 16 Okt 2021, menumpukan kemahiran lanjutan proses pewarnaan bilah rotan menggunakan bahan pewarna dan teknik anyaman kombinasi bilah berwarna, manakala fasa tiga, dari 14 hingga 16 Feb 2023, menumpukan aspek jalinan bilah rotan berwarna.

Sementara itu, Ketua Umum Rumah Panjang, Lusong Laku, Tingang Jati,43, menzahirkan penghargaan buat Kraftangan Malaysia kerana sudi membantu masyarakat Penan untuk menjual dan membawa keluar produk-produk kraf yang dihasilkan oleh masyarakat berkenaan.

"Kami sangat berbangga dan berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Penduduk di sini kebanyakannya bekerja sendiri, mengusahakan ladang, memburu, menangkap dan menjual ikan untuk menampung keperluan harian mereka.

"Dengan inisiatif daripada Kraftangan Malaysia melatih masyarakat Penan di sini, maka penduduk tidak hanya bergantung kepada memburu sahaja tetapi dapat memperluaskan potensi dalam bidang kraf tangan seterusnya dapat membantu kewangan mereka " katanya.

 

CABARAN PEMASARAN

Bercakap lebih lanjut tentang PPKK, 'Ainu Sham berkata, program itu bertujuan meningkatkan lagi kemahiran asas para peserta PPKK etnik Penan agar produk yang dihasilkan lebih berkualiti daripada segi rekaan corak, bentuk, kemasan serta kehalusannya.

PPKK, kata beliau diwujudkan pada tahun 2020, ketika pandemik COVID-19 sebagai satu usaha Kraftangan Malaysia membantu kumpulan sasar dalam kalangan suri dan belia yang tidak bekerja untuk menjana pendapatan seisi keluarga melalui kemahiran kraf.

pic-5

Menurut beliau, produk anyaman rotan mendapat permintaan yang tinggi di luar dan berharap komuniti Lusong Laku dapat memanfaatkan kemahiran serta pendedahan yang diberikan oleh Kraftangan Malaysia.

"Sejak projek ini dimulakan, Kraftangan Malaysia turut memantau daripada segi pendapatan berdasarkan rekod laporan. Apa yang membanggakan purata pendapatan bulanan mereka, daripada purata RM1,100 tahun lepas meningkat kepada RM1,600 tahun ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga Mei lepas, Kraftangan Malaysia sudah mewujudkan 140 PPKK di seluruh negara termasuk 14 PPKK di Sarawak.

Objektif utama Kraftangan Malaysia, katanya, mahu meningkatkan pendapatan komuniti Penan ini di samping mengkomersilkan produk-produk sentuhan tangan masyarakat berkenaan yang bernilai tinggi.

Mengakui kesukaran penduduk membawa keluar dan memasarkan produk mereka berikutan lokasi yang jauh dan perlu menempuh perjalanan panjang, 'Ainu Sham berkata, pihaknya menyedari masalah itu kerana melalui pengalaman sama semasa hendak ke kawasan itu.

"Ini adalah cabaran kepada kami (Kraftangan Malaysia), masalahnya komuniti ini berada di lokasi jauh di pedalaman. Memang ia mengambil masa yang lama dari Kuching (Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak) kemudiannya ke Bintulu seterusnya ke Lusong Laku, perlu meredah perjalanan yang panjang.

“Namun ia tidak menjadi halangan kepada kami untuk masuk ke kewasan ini dan membawa keluar kesemua produk yang dihasilkan mereka," katanya.

Beliau menambah, pihaknya mengambil inisiatif turun padang ke Lusong Laku sebanyak dua kali setahun untuk membawa keluar kesemua produk anyaman mereka atau mengikut tempoh siap produk kraf yang diselaraskan oleh wakil komuniti bersama pihak Kraftangan Malaysia

Usaha itu dilakukan menerusi anak syarikat agensi ini iaitu Karyaneka yang akan memasarkan barangan anyaman komuniti berkenaan.

pic-3

Di samping itu, beliau berkata, Kraftangan Malaysia juga membantu mempromosi menerusi platform dalam talian dengan pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak di Kuching sebagai hab pengumpulan produk-produk keluaran kaum Penan untuk dipasarkan.

Selain itu, 'Ainu Sham berkata, Rumah Kraf Tangan Lusong Laku menjadi mercu tanda usaha berterusan kerajaan bagi membolehkan komuniti Penan mengumpul hasil karya anyaman mereka seterusnya memberi peluang kepada pelancong untuk mendapatkan produk terbabit.

Terbaharu, 'Ainu Sham berkata, dengan persetujuan diberikan Tingang Jati yang sudi membawa keluar produk etnik Lusong Laku sehingga ke Simpang Murum, ia membantu pihaknya untuk memasarkan produk anyaman rotan etnik Penan ke luar Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

 

DARI KOMUNITI KEPADA USAHAWAN

Menurut 'Ainu Sham,  juga menjadi hasrat utama Kraftangan Malaysia untuk melahirkan usahawan yang mampu berdiri sendiri setanding usahawan lain biar pun mereka tinggal di kawasan pedalaman. 

Justeru, pihaknya sedaya upaya menyantuni golongan ini dengan membawa pakej merangkumi peluang pemasaran, penghasilan produk berkualiti berserta rekaan unik seterusnya mampu menembusi pasaran luar.

Mengenai perancangan masa hadapan untuk etnik Penan, Kraftangan Malaysia akan senantiasa memberikan bimbingan berterusan agar komuniti berkenaan dapat menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti.

pic-6

"Di bawah projek ini (PPKK), selepas mereka sudah mahir dan mengeluarkan produk cantik, kita akan bawa komuniti ini untuk melakukan simulasi perniagaan di festival dan program promosi secara fizikal dengan menyediakan reruai jualan untuk golongan ini memasar dan menjual sendiri produk mereka secara bersemuka sekali gus dapat meningkatkan kemahiran keusahawanan," katanya.

Beliau turut yakin etnik ini juga mampu muncul sebagai usahawan berdaya tahan serta berdaya saing apabila sudah dilengkapkan dengan kemahiran dari sudut teknikal dan keusahawanan.

"Kraftangan Malaysia juga akan terus menyalur khidmat bimbingan daripada segi pembangunan produk agar lebih banyak produk anyaman rotan berkualiti yang menepati kehendak pasaran dapat dihasilkan, selain melaksanakan inisiatif dalam pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai pelapis untuk meneruskan kelangsungan industri kraf tangan tempatan," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan