DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

16/07/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia diniaga rendah pada sesi dagangan tengah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan pada dagangan awal serta prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.90 mata kepada 1,625.92 daripada 1,629.82 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.91 mata lebih tinggi kepada 1,631.73 dan mengalami turun naik di antara 1,625.70 dengan 1,633.97 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter rugi sebanyak 680 berbanding 382 saham, manakala 477 kaunter kekal tidak berubah, 910 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.81 bilion unit bernilai RM1.69 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur akan memantau pengumuman data jualan runcit Amerika Syarikat hari ini dan data pengeluaran industri pada Khamis dan tuntutan pengangguran pada Jumaat.

Selain itu, ia berkata lebih banyak minat belian dilihat dalam saham pembinaan bermodal kecil disebabkan jangkaan lebih banyak tawaran pekerjaan berikutan pelaburan pusat data baru-baru ini oleh syarikat multinasional.

“Kami percaya bahawa limpahan daripada sokongan pembelian boleh dilihat dalam hartanah, bahan bangunan, utiliti dan saham teknologi.

“Pewartaan Akta Keselamatan Siber 2024 baru-baru ini oleh Jabatan Peguam Negara boleh meningkatkan permintaan bagi saham keselamatan siber. Segmen lain yang sesuai untuk dipantau termasuk kewangan dan telekomunikasi,” katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 255 Jepun meningkat 0.45 peratus kepada 41,287.89, Indeks Komposit Kospi Korea Selatan naik 0.16 peratus kepada 2,865.46, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.21 peratus kepada 3,490.76 seratus peratus dan Indeks Han Seng Hang Kong turun 1.34 peratus kepada 17,773.95.

Di peringkat tempatan, bagi kalangan saham wajaran tinggi, SD Guthrie naik sembilan sen kepada RM4.30, Public Bank tidak berubah pada RM4.13, Maybank merosot dua sen kepada RM10.12, TNB berkurangan empat sen kepada RM14.44, CIMB jatuh tiga sen kepada RM7.15 dan IHH Healthcare menguncup satu sen kepada RM6.33. 

Bagi kaunter aktif, Bintai Kinden melonjak 2.5 sen kepada 14 sen, MLabs meningkat lima sen kepada 25.5 sen, WCT naik enam sen kepada RM1.17, Velesto menambah satu sen kepada 24 sen, Talam Transport tidak berubah pada 2.5 sen, XOX jatuh 0.5 sen kepada satu sen dan MYEG merosot satu sen kepada RM1.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 28.92 mata kepada 12,603.89, Indeks FBMT 100 jatuh 26.72 mata kepada 12,174.56, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 26.72 mata kepada 12,174.56, Indeks FBM 70 jatuh 32.26 mata kepada 18,817.68 dan Indeks FBM ACE merosot 48.09 mata kepada 5,974.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.21 mata kepada 17,902.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.68 mata kepada 200.98, Indeks Perladangan menambah 32.90 mata kepada 6,996.53 dan Indeks Tenaga naik 3.55 mata kepada 974.62.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan