POLITIK

SPEAKER BELUM TERIMA BUKTI BERTULIS DARIPADA PN STATUS AHLI PARLIMEN BUKIT GANTANG

17/07/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul belum menerima sebarang bukti bertulis daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung status Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, Johari berkata berdasarkan rekod, bekas ahli Bersatu itu masih berada di bawah PN.

"Ada bukti hitam putih yang PN tulis untuk saya tarik dia keluar (daripada kedudukan dalam Dewan sekarang)?

"Kena tulis, saya tak tahu. Bersatu ada (hantar surat) tetapi PN belum, sebab rekod kita ikut PN, bukan Bersatu atau PAS. Sila buat demikian, Setiausaha Agung (PN) pun ada di sini," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bangkit mempersoalkan kedudukan Syed Abu Hussin Hafiz ketika beliau mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi itu.

"Tuan Speaker, mohon laluan sikit. Bukit Gantang itu tulis PN. Dia bukan PN dah, tak tahu macam mana dia boleh duduk situ lagi," kata Ahmad Fadhli.

Bagaimanapun, Johari menyoal kembali sama ada Ahmad Fadhli mempunyai bukti bertulis bahawa PN telah mengeluarkan Syed Abu Hussin Hafiz dalam senarai gabungan itu, sekali gus meminta PN untuk menulis kepadanya sebagai pemakluman.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah antara enam bekas ahli Bersatu yang dipecat selepas  mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 20 Jun lepas, Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah mengemukakan notis kepada Johari mengenai kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen kerana keahlian mereka dalam parti telah terhenti. 

Keenam-enam Ahli Parlimen diberikan notis gugur keahlian pada 12 Jun lepas apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

Seterusnya pada 11 Julai, mereka dilaporkan berkata akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan