AM

RANGKA DASAR RENTAS JABATAN, KEMENTERIAN, JAMIN DASAR LEBIH INKLUSIF - ANWAR

17/07/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pendekatan Kerajaan MADANI dalam merangka dasar negara merentas semua jabatan dan kementerian bagi menjamin dasar yang lebih inklusif dan berjaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagi mencapai objektif berkenaan, setiap jabatan dan kementerian tidak boleh bergerak secara silo, seperti yang terkandung dalam inti pati Ekonomi MADANI.

"Sebagai Perdana Menteri, saya komited untuk melihat industri ini berkembang dengan cara yang inklusif dan berlanjutan … kemajuan teknologi dan ekonomi tidak mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan. 

"Inilah erti sebenar 'Bioekonomi Untuk Semua' – satu visi yang kemajuan dalam bioteknologi membawa kesejahteraan dan keadilan kepada semua lapisan masyarakat," kata beliau dalam ucaptama merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri turut meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang untuk menyenaraikan 100 saintis dalam bidang bioteknologi bagi mengadakan program untuk menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di 100 sekolah di seluruh Malaysia. 

Anwar juga mengarahkan supaya laporan mengenai perkara itu dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu. 

"Saya maklum kepada Lih Kang untuk adakan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya program dipesatkan dan tingkatkan minat anak-anak muda dalam STEM berbanding sebelum ini. 

"Kebimbangan saya ialah kita sebutkan dalam bidang digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan bioekonomi … bagaimana boleh pastikan pendekatan kita ambil menjalar kepada rakyat terbanyak. Jadi, bolehlah syarikat bioteknologi, agensi dan kementerian … sebulan sekali, dua tiga jam turun ke sekolah menengah dan beri sedikit pendedahan," kata beliau.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk pelaksanaan program Pemecut Berasaskan Bio (BBA) pada 2024 supaya dapat membantu industri sektor berasaskan bio menjadi menjadi lebih inovatif dan celik teknologi, seterusnya meningkatkan tenaga kerja dalam STEM.

"Dengan galakan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan kerjasama syarikat Bioeconomy Corporation, syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan BBA dapat memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja STEM yang berkelayakan tinggi untuk memacu inovasi dan pembangunan mampan dalam sektor bioekonomi. 

"Disebabkan itu, saya menyokong penuh agar pihak MOSTI dan Bioeconomy Corporation mempertingkatkan lagi program BBA dan status BioNexus," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan