AM

PENGASINGAN SISA DI PUNCA: PULAU PINANG KELUAR 1,202 NOTIS KETIDAKPATUHAN

17/07/2024 03:03 PM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak 1,202 notis ketidakpatuhan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas individu atau pemilik premis di Pulau Pinang dalam tempoh 17 hari dasar pengasingan sisa di punca dikuatkuasakan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata jumlah itu merangkumi 1,152 notis oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) manakala 50 lagi dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), hasil operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kedua-dua PBT itu.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini belum ada tindakan kompaun dikenakan kerana pihaknya masih memberi ruang kepada rakyat untuk melakukan proses pengasingan sisa pepejal di punca dengan mengasingkan sisa kitar semula dengan sisa baki.

"Bermula 1 Julai, MBSP dan MBPP telah melaksanakan operasi dan notis (ketidakpatuhan) ini dikeluarkan kepada individu tertentu selepas pemeriksaan mendapati gagal mengasingkan sisa di punca. Notis pertama diberikan sebagai amaran untuk mendidik mereka supaya melakukan proses tersebut tetapi jika pemeriksaan seterusnya didapati gagal, maka notis kali kedua dan ketiga akan dikeluarkan.

"Namun, sekiranya gagal lagi maka kita terpaksa keluarkan notis kompaun iaitu saman sebanyak RM500 dan sebenarnya kita tidak mahu sampai ke tahap itu, jadi kita harapkan kerjasama daripada semua pemilik premis untuk melakukan pengasingan di punca," katanya pada sidang media di Komtar, di sini hari ini.

Beliau berkata dasar itu dilaksanakan demi kelestarian alam sekitar, selain membantu mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung di Nibong Tebal.

Mengulas lanjut, H'ng berkata dasar pengasingan sisa di punca telah diperkenalkan pada 1 Jun 2016 dan dikuatkuasakan di seluruh Pulau Pinang setahun kemudian, namun tergendala akibat penularan COVID-19.

Penguatkuasaan dasar itu katanya tidak terhad kepada premis kediaman dan komersial, malah turut melibatkan pihak industri dan perhotelan yang dilaksanakan secara rawak.

Beliau memaklumkan sejak 1 Julai lepas, sebanyak 169 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di kawasan Seberang Perai manakala 20 operasi di bahagian pulau dan pelaksanaan dasar itu menerima sambutan menggalakkan dengan jumlah pungutan sisa boleh kitar semula melebihi 12 tan dalam tempoh 1 hingga 16 Julai lepas.

"Bagi kawasan pentadbiran MBPP, pemungutan sisa boleh kitar semula adalah tiga hari seminggu mengikut jadual kawasan tertentu dan dari 1 hingga 15 Julai, jumlah pungutan 7.63 tan manakala di Seberang Perai pemungutan hanya dilakukan pada hari Sabtu dengan jumlah pungutan pada 6 hingga 13 Julai adalah sebanyak 4.65 tan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan