AM

27 ANJING MATI DISYAKI DIRACUN, JPV KESAL TIADA ADUAN AWAL

17/07/2024 06:35 PM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- Kematian 27 anjing liar dalam tempoh tiga hari dipercayai diracun di sekitar kawasan sebuah pangsapuri di Tanjong Bungah di sini awal bulan ini berkemungkinan dilakukan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan pertambahan populasi haiwan tersebut di situ.

Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang Dr Tishrin Muhammad Ismail berkata tiada tindakan lanjut dapat diambil termasuk siasatan punca kematian haiwan berkenaan kerana kelewatan melaporkan insiden itu.

Malah, katanya, tiada bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

Katanya, insiden itu berlaku dalam tempoh 4 hingga 6 Julai lalu dan pihaknya menerima aduan empat hari kemudian iaitu pada 10 Julai lalu.

"Kita kesal aduan dibuat lewat menyebabkan kita tidak dapat mengambil sampel daripada bangkai anjing itu untuk dianalisa bagi mengetahui punca sebenar ia mati kerana ia sudah dilupuskan.

"Kita pergi ke lokasi selepas mendapat aduan tersebut tetapi tidak menjumpai apa-apa bukti seperti racun dalam makanan atau pun Kamera Litar Tertutup (CCTV) di situ jadi sukar untuk kita ambil tindakan namun siasatan tetap diteruskan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye.

Tishrin berkata pihaknya menerima satu lagi aduan Ahad lalu yang memaklumkan terdapat seekor lagi anjing mati tetapi pihaknya tidak dapat mengambil sampel sebab anjing tersebut sudah dibakar.

Media melaporkan seorang individu yang kematian anjing baka Husky berusia enam tahun dipercayai diracun bersama-sama dengan lebih 20 ekor anjing liar lain di kawasan perumahan di Tanjung Bungah, minggu lepas.

Sementara itu, H'ng berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti meracuni haiwan berkenaan.

Beliau meminta kerjasama penduduk kawasan perumahan itu atau kawasan sekitarnya yang mempunyai maklumat atau bukti rakaman supaya menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau JPV bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka yang disabit kesalahan melakukan penganiayaan terhadap haiwan boleh didakwa  mengikut Seksyen 31 (pemberian racun), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukan  hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan