EKONOMI

AI DALAM PENGURUSAN ASET LEBIH JIMATKAN KOS BERBANDING KEUNTUNGAN PELABURAN - MOODY'S

17/07/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Impak berterusan daripada kecerdasan buatan (AI) terhadap sektor pengurusan aset global dijangka menjimatkan kos berbanding memberikan prestasi pelaburan yang lebih baik, menurut Moody's Ratings.

Katanya syarikat yang mempunyai sumber yang mencukupi dan melaksanakan automasi dijana AI sepenuhnya akan menyaksikan manfaat yang besar tetapi AI tidak akan memberikan prestasi pasaran yang menggalakkan secara berterusan untuk industri.

Katanya kemajuan terkini AI berpotensi untuk meningkatkan kecekapan aliran kerja dan automasi dengan ketara di syarikat pengurusan aset dengan meningkatkan produktiviti, menaik taraf produk dan menambah baik perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya AI lanjutan tidak akan membolehkan semua pengurus aset mengatasi prestasi pasaran. 

“Impak yang berkekalan dan nilai sebenar daripada AI dalam pengurusan aset bukan terletak pada mencapai prestasi pelaburan yang lebih baik tetapi meningkatkan pengalaman pelanggan, menyesuaikan penyelesaian pelaburan dan mencapai kecekapan melalui automasi,” katanya dalam nota sektoral. 

Menurut Moody's Ratings, AI juga dapat membantu membuat analisis kewangan, menjadikan pasaran lebih cekap untuk pelbagai pelabur.

“Ini dapat memberikan pemahaman yang lebih baik tentang penyata kewangan, data dan pemfailan SEC kepada peserta pasaran tetap, sekali gus mengurangkan jurang antara pelabur profesional dan runcit.

“Model AI generatif terkini yang boleh menganalisis dan mentafsir sejumlah besar data kewangan dan bukan kewangan berstruktur dan tidak berstruktur dapat memperluas tindakan penilaian ini dalam kalangan kumpulan penganalisis dan pelabur, meningkatkan kecerdasan peserta kewangan secara kolektif,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan