AM

PROJEK WCP 2030 KEDUA DI LRA SUNGAI DUA MULA SEPTEMBER

17/07/2024 04:58 PM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- Projek Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) kedua Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melibatkan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua akan mula beroperasi September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata projek berkenaan akan membolehkan pihaknya mengeluarkan tambahan 114 juta liter sehari (JLH) air terawat untuk disalurkan di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua yang merangkumi beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau. 

"Kerja-kerja projek ketiga dan keempat WCP 2030 akan bermula pada November dan Disember 2024. Projek ketiga melibatkan pemasangan saluran paip sepanjang 13 kilometer (km) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth.

"Projek keempat pula akan menyaksikan pemasangan 3.9 km lagi saluran paip 1.8 meter dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar di bahagian pulau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemasangan dua saluran paip utama itu akan mempertingkatkan dengan ketara kapasiti pengepaman air terawat PBAPP dari LRA Sungai Dua ke DBD di Pulau Pinang, apabila beroperasi tahun depan.

Projek WCP 2030 pertama ialah modul Rawatan Air Pengapungan Udara Terlarut (DAF) 10 juta liter sehari (MLD) baharu di LRA Bukit Panchor yang beroperasi Disember lepas dan telah menghasilkan sehingga 10 JLH air terawat tambahan untuk bekalan di SPS

Pathmanathan menjelaskan sehingga kini, PBAPP telah melabur kira-kira RM51.52 juta untuk projek pertama dan kedua WCP 2030 serta Pelan Tindakan SPS pada 2023 dan 2024, manakala projek ketiga dan keempat WCP 2030 akan melibatkan pelaburan tambahan sebanyak RM172.0 juta.

Beliau berkata PBAPP juga akan membuat pelaburan tambahan RM18 juta untuk pemasangan saluran paip baharu di Sungai Perai tahun ini yang dijadualkan bermula September ini untuk disiapkan sebelum hujung tahun.

Antara objektif utama WCP 2030 adalah untuk menangani lonjakan 10 peratus penggunaan air di Pulau Pinang sejak 2019 dan memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030, selain mengurangkan risiko air yang wujud di negeri ini berkaitan sumber air mentah terhad, perubahan iklim serta permintaan air yang semakin meningkat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan