AM

KARNIVAL JUALAN AGRO MADANI MEGA PERLIS CATAT NILAI JUALAN LEBIH RM920,000

17/07/2024 07:17 PM

KANGAR, 17 Julai (Bernama) -- Karnival Jualan Agro MADANI Mega dan Santai Agropreneur Muda peringkat negeri Perlis yang diadakan pada 12-14 Julai lepas berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM929,132 iaitu melepasi sasaran awal RM750,000.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohd Anzara Azizan berkata nilai jualan yang direkodkan itu melibatkan lima kluster iaitu Jualan Agro MADANI, Industri Makanan dan Asas Tani, Buah-Buahan, Florikultur dan Makanan Popular.

"Secara keseluruhan karnival ini mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Perlis dengan kehadiran 35,000 pengunjung berbanding 30,000 pengunjung yang disasarkan.

"Selain rakayat Perlis, karnival ini turut dihadiri  penduduk dari negeri jiran seperti Kedah dan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Anzara berkata sebanyak 3,800 kampit beras putih tempatan dan 2,000 papan telur ayam serta 10 tan barangan segar seperti ikan, daging, sayur dan buah-buahan berjaya dipasarkan di karnival itu melalui Pusat Operasi FAMA dan Persatuan Nelayan Negeri Perlis serta usahawan Lembaga Pertubuhan Peladang. 

Selain itu, beliau berkata 2,800 set kombo MADANI mengandungi ayam, sayur dan bawang  yang ditawarkan pada harga RM10 turut terjual.

Beliau berkata pihak FAMA turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan program 'High Profile Policing' yang menawarkan pengurangan kompaun saman PDRM sebanyak 50 peratus dan pameran aset untuk memberikan kelainan kepada pengunjung karnival.

Perasmian karnival itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Badrul Hisham Mohd.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan