AM

SEBANYAK 1,038 TEMPAT TVET YANG DITAWAR OLEH MCI SUDAH DIISI - TPM

17/07/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 1,038  daripada keseluruhan 5,125 tempat yang ditawarkan oleh Institut Malaysia-China (MCI) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diisi.

Menggelarkan ia sebagai 'pencetus perubahan' untuk TVET Malaysia, beliau berkata inisiatif itu akan memberikan kemahiran dalam menggunakan peralatan teknologi tinggi kepada pelajar Malaysia dan membina landasan kerjaya yang menjanjikan pulangan memuaskan dalam bidang TVET termasuk gaji yang lebih baik.

“Penting bagi kita menterjemahkan bentuk kerjasama ini dalam konteks Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Perdana Menteri China Li Qiang teruja dengan kecepatan kita menyambut tawaran ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif MCI di sini hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif Chery Malaysia Chen Gang dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat MCI.

Pada Mei lepas, sejumlah 220 syarikat China menawarkan 5,125 tempat untuk pelajar Malaysia menjalani latihan jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan TVET yang dilihat sebagai pemacu utama dalam meningkatkan industri itu di Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), berkata pihaknya merencanakan dua kumpulan berbeza untuk dihantar ke China dengan satu daripadanya adalah tenaga pengajar.

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri menghantar dua kumpulan tenaga pengajar dan setiap kumpulan terdiri daripada sembilan orang untuk mendapat pendedahan dalam pelbagai bidang yang ditetapkan. Jadi kita akan hantar dua kumpulan,” katanya. 

Beliau juga menekankan kepentingan memberi peluang yang saksama kepada semua pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk kaum Cina dan India serta pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam inisiatif ini.

“Sebanyak 5,125 tempat baharu diumumkan pada Mei lepas, sebelum itu hanya 2,000 yang diperuntuk kepada kita, dengan penambahan itu saya memberi peluang kepada kaum Cina, India, pelajar dari Sabah, Sarawak dan lain-lain untuk dihantar juga bagi memberikan kesaksamaan kepada pelajar-pelajar ini.

“Jadi saya berterima kasih kepada TANG International Education Group, Cherry serta Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang telah menyambut program ini dengan segera dan PTP misalnya, telah mengambil 100 peratus pelajar yang kita hantar untuk bekerja dengan mereka, begitu juga dengan Cherry,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan MTVET telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan 1,383 syarikat untuk mengambil graduan TVET pada pelbagai tahap sekali gus menjamin peluang pekerjaan yang cerah untuk mereka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan