AM

PERHALUSI GAJI PREMIUM TVET ANTARA CADANGAN DIMUKTAMAD OLEH JTDC - TPM

17/07/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Beberapa cadangan dimuktamad pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) berhubung strategi bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir sekali gus membantu menangani isu ketidaksepadanan permintaan dalam industri itu terutama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antaranya memperhalusi gaji premium kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh syarikat yang telah atau akan melabur di JS-SEZ.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata jumlah tawaran gaji tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama pemain industri di negeri berkenaan.

"Langkah ini supaya dapat bersaing dalam aspek penawaran gaji minimum, kalau tidakpun setara tetapi ia menarik berbanding tawaran negara jiran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JTDC di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan memperhalusi gaji premium bagi graduan TVET dijangka mampu diperluas ke negeri lain.

Beliau berkata cadangan lain ialah penganjuran pameran kerjaya untuk tawaran pekerjaan dalam bidang tenaga mahir supaya mampu mengisi kelompongan antara permintaan oleh industri dan permohonan daripada graduan.

"Contohnya, terdapat 74,710 kekosongan jawatan tetapi yang memohon hanya 51,946 dan ini ertinya terdapat kelompangan di situ lebih kurang 23,000... ada pekerjaan tetapi orang yang memohon tiada, perkara ini mesti diatasi," katanya.

Beliau berkata pameran TVET juga bakal dilaksana oleh pelbagai pihak antaranya Majlis Amanah Rakyat, Kementerian Pendidikan dan 108 institusi TVET di Johor untuk mempromosi tawaran kursus yang disediakan.

Ahmad Zahid berkata bagi memastikan setiap cadangan mencapai matlamat, Jawatankuasa Pelaksana JTDC akan ditubuh bagi mengkoordinasi serta memperhalusi gerak kerja secara berterusan dan jawatankuasa itu akan diterajui oleh Zambry.

"Ini pertama kali Kerajaan Persekutuan membuat mesyuarat koordinasi khusus untuk sebuah negeri dan ini bukannya agenda negeri sahaja kerana kita berpendapat ini agenda nasional yang harus didukung kerajaan Persekutuan untuk membantu perkembangan pembangunan ekonomi di zon ekonomi khas ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan