EKONOMI

TRIUMPH POINT BELANJA RM10 JUTA BINA PUSAT 3S PERODUA DI ALOR SETAR

17/07/2024 09:10 PM

ALOR SETAR, 17 Julai (Bernama) -- Syarikat pengedar sah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Triumph Point (M) Sdn Bhd membelanjakan RM10 juta membangunkan Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) kenderaan itu di Titi Gajah dekat sini.

Pengarah Triumph Point Datuk Ismail Lall Khan berkata bangunan satu tingkat berkeluasan 2,500 meter persegi itu mula beroperasi sejak Mac lalu dan menawarkan kemudahan serta perkhidmatan yang lebih selesa untuk pelanggan Perodua.

"Perancangan untuk membina bangunan ini tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, tapi kini bangunan ini akhirnya berjaya disiapkan dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk surau yang boleh menempatkan hingga 100 jemaah pada satu-satu masa. 

"Sebelum ini kami beroperasi di Taman Pandan dan berpindah ke sini sejak Januari tahun ini sebelum pusat 3S ini memulakan operasi pada Mac lalu. Pusat 3S ini telah diiktiraf mengikut standard operasi baharu dan itu sudah tentu memberi semangat kepada kami di Triumph Point," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian bangunan tersebut yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Mohd Fauzi Mustaffa, Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Yusri Md Daud dan Pengarah Sumber Manusia Perodua Sales Sdn Bhd Zarina Mansor.   

Mengulas lanjut, Ismail berkata dengan lokasi pusat itu yang strategik, pihaknya berharap dapat meningkatkan lagi jualan selain memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna Perodua di sekitar bandar raya ini. 

Menurutnya, tahun lepas pihaknya berjaya mencapai jualan kenderaan sebanyak 2,488 unit dan menyasarkan angka itu dapat ditingkat pada tahun ini dan tahun depan.

"Perodua menetapkan kouta bergantung kepada prestasi jualan, tapi sudah tentu kami sebagai pengedar rasmi mengharapkan lebih lagi jualan. Harapan kami dapat mencapai jualan lebih daripada 2,500 unit atau lebih lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan