AM

RISDA RAI 640 PELAJAR SPM CEMERLANG MENERUSI PROGRAM TUISYEN RAKYAT KKDW

17/07/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini meraikan 640 pelajar terdiri anak-anak pekebun kecil yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 melalui program Tuisyen Rakyat RISDA.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata di bawah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), program Tuisyen Rakyat RISDA yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9) menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar.

"Program Tuisyen Rakyat ini menyaksikan peningkatan prestasi akademik dalam peperiksaan SPM 2023, menunjukkan impak positif menyaksikan dua pelajar memperoleh 12A, 19 pelajar mendapat 11A, 17 pelajar 10A, 59 pelajar 9A, 87 pelajar 8A, 105 pelajar 7A, 154 pelajar mendapat 6A dan 197 pelajar memperoleh 5A ke atas.

"Inisiatif ini tidak hanya memberikan peluang pendidikan tetapi juga membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan dihadapi ibu bapa di luar bandar khususnya golongan pekebun kecil getah," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Apresiasi Porgram Tuisyen Rakyat RISDA di sebuah hotel di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KKDW yang baharu Datuk Mohd Khair Razman Mohamed.

Program Tuisyen Rakyat RISDA itu telah diperluaskan kepada 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen 1,000 guru dan 3,000 pelajar terdiri generasi muda luar bandar termasuk anak pekebun kecil RISDA dengan memfokuskan kepada lima mata pelajaran utama iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Manndzri berkata menerusi inisiatif itu, KKDW berusaha meminimumkan halangan untuk pelajar luar bandar memaksimumkan potensi diri dengan mengurangkan beban kewangan ibu bapa melalui bahan rujukan percuma. 

Sementara itu, wakil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera, Pahang, Renorico Mazeri, 18, berkata program tuisyen berkenaan banyak membantu pelajar Orang Asli sepertinya untuk mendapat peluang pendidikan yang sama dengan pelajar di kawasan bandar.

Berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, pelajar SPM 2023 yang memperoleh 9A itu berkata program itu wajar diteruskan kepada generasi akan datang supaya calon SPM akan datang juga dapat beroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu. 

"Apapun saya harap program ini diteruskan kerana saya percaya ia mampu beri kesan positif kepada pelajar untuk bermotivasi," kata anak penoreh getah itu.

Seorang lagi pelajar pedalaman dari Lawas, Sarawak, Joylenne Lua Balang, 18, berkata program Tuisyen Rakyat RISDA banyak membantunya termasuk bantuan buku dan alat tulis serta latihan tambahan dalam meningkatkan pengetahuan untuk menghadapi SPM.

"Sebelum ini, saya sering mendapat keputusan E dan F dalam mata pelajaran Matematik tetapi melalui latihan-latihan yang diberikan (melalui program) RISDA, saya akhirnya mendapat keputusan 8A dalam SPM termasuk subjek berkenaan," kata Joylene, pelajar etnik Lunbawang dari Kampung Long Tanid, Lawas. 

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata beliau berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris (TESL) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, sekali gus berada di landasan tepat untuk mengejar cita-cita bergelar guru.

Ahmad Adam Qayyum Ismail, 18, dari Nilai, Negeri Sembilan pula berkata program Tuisyen Rakyat RISDA sangat berguna dan memberi impak sehingga berjaya memperoleh keputusan 12A dalam SPM 2023, sekali gus membanggakan ibunya yang juga ibu tunggal. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan