AM

PENGENALAN PAKEJ RAHMAH PRABAYAR SISWA TEPAT DENGAN KEPERLUAN SEMASA

17/07/2024 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pengenalan inisiatif Pakej Rahmah Prabayar Siswa khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi adalah bertepatan dengan keperluan semasa yang menuntut lebih banyak kaedah pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Ini kerana menerusi Pakej Rahmah Prabayar Siswa berharga tidak lebih RM30 itu, pelajar boleh mendapat akses kepada kemudahan Internet yang pantas untuk pembelajaran dan tugasan masing-masing berikutan minimum permulaan data yang disediakan ialah 30 gigabait untuk tempoh 180 hari.

Di PAHANG, pelajar jurusan kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nurul Amylea Maisairah Abdul Halim berterima kasih kepada kerajaan kerana cakna dengan keperluan mereka.

“Semua benda sekarang memang perlukan Internet yang menggunakan data telefon dan pakej seperti ini secara tidak langsung dapat melancarkan urusan kami dalam menyiapkan tugasan,” katanya kepada Bernama.

Penuntut Fakulti Teknologi Awam (Infrastruktur) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Adam Ibrahim Jamaludin pula berkata dengan pakej itu, mereka tidak perlu lagi bergantung kepada WiFi universiti ketika menyiapkan dan menghantar tugasan.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan pakej itu dikhususkan untuk pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih serta boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES). 

Di TERENGGANU, penuntut tahun dua Diploma Sains Komputer UiTM cawangan Kuala Terengganu Mohd Azwan Azmir Razali, 20, berkata inisiatif itu memberi kelegaan terutama kepada golongan kurang mampu yang sebelum ini terpaksa mengeluarkan belanja agak besar untuk mendapatkan kemudahan Internet.

Mengambil contoh diri sendiri, Mohd Azwan berkata dia menghabiskan RM80 sebulan untuk melanggan Internet bagi memastikan semua tugasan dapat disiapkan dengan lancar dan cepat.

“Walaupun pihak UiTM menyediakan perkhidmatan Internet di asrama, liputannya sering kali terganggu kerana kedudukan kampus di sebelah bukit. Mahu tak mahu saya terpaksa meminta wang daripada ibu untuk melanggan Internet setiap bulan,” katanya.

Rakannya, Muhammad Syamil Azfar, 20, pula berharap inisiatif itu dapat dipercepat dan diberikan kepada semua pelajar.

Di PULAU PINANG, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Perhotelan di UiTM Kampus Permatang Pauh Faizatul Husna Mohd Syukran, 20, berkata dengan pakej itu, dia boleh berjimat sehingga RM100 bagi tempoh tiga bulan dan penjimatan tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan lain seperti membeli peralatan pembelajaran.

Di NEGERI SEMBILAN, pelajar UiTM Nor Shafiqah Mohd Ghazali berkata buat masa ini, data yang disediakan menerusi pakej itu mencukupi kerana pembelajaran kini turut diadakan secara fizikal dan tidak bergantung kepada kaedah dalam talian semata-semata. 

DI PERLIS pula, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah menyifatkan pengumuman itu tepat pada masanya kerana universiti itu kini dalam persiapan menerima pelajar baharu diploma yang dijadual mendaftar masuk pada 20 Julai.

Beliau berkata untuk memastikan pelajar tidak terlepas daripada mendapat manfaat itu, pihak universiti merancang menguar-uarkan pakej itu pada minggu suai kenal selain menghebahkannya di laman media sosial rasmi universiti serta mengeluarkan notis makluman melalui e-mel dan hebahan di kolej kediaman.

DI SELANGOR, pelajar Akademi Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam Putri Aina Syuaibah Megat Nazaruddin berkata kemudahan itu sudah pasti membantu dirinya dan juga pelajar lain mengatasi masalah Intenet serta capaian yang lemah ketika melakukan tugasan lapangan di luar bandar.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @Shahibuddin pula berkata pengenalan inisiatif itu adalah tepat bagi memastikan pelajar, khususnya golongan B40 yang merupakan 60 peratus pelajar kumpulan tersebut, dapat menikmati akses komunikasi dan Internet lebih inklusif dalam proses pembelajaran masing-masing.

Beliau berkata Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Jabatan Komunikasi UiTM akan menyebarluaskan inisiatif terbaharu itu bagi memastikan pelajar serta seluruh sistem universiti mendapat maklumat tepat dan akses kepada permohonan pakej terbabit.

“Hebahan kepada pelajar telah dibuat melalui platform rasmi UiTM dan juga TikTok Channel UiTM dan akan diikuti dengan pemakluman oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) di aplikasi MyStudent, Telegram Info Rasmi HEP UiTM serta media sosial yang berkaitan BHEP.

"Hebahan juga akan dibuat menerusi platform Sistem Pengurusan Pembelajaran UiTM iaitu UFuture dan juga UiTM iStudent Portal, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM di peringkat cawangan UiTM se-Malaysia, kelab media pelajar iaitu MEDCOMM Siswa serta ketika sesi taklimat pada Minggu Destini Siswa iaitu minggu orientasi bagi pelajar-pelajar baharu kelak," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan