BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 EKONOMI

MOSTI SASAR NILAI JUALAN HAMPIR RM400 JUTA DARIPADA LIMA PRODUK BAHARU SYARIKAT BIONEXUS DAN BBA

19/07/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan nilai jualan hampir RM400 juta daripada pelancaran lima produk bioteknologi oleh syarikat berstatus BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Produk tersebut ialah baja bio daripada hasil sampingan pembuatan pulpa oleh Nextgreen Global Bhd, jus kelapa isotonik prebiotik dan probiotik oleh Culvita, minuman bijirin dengan ubi keledek ungu dan beri biru; serbuk kering beku kacang soya fermentasi dan tablet yang mengandungi ekstrak tiga jenis cendawan perubatan oleh GoodMorning Global.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata pelancaran produk itu akan memberi suntikan yang memberangsangkan buat syarikat bioteknologi dan berharap banyak lagi produk seumpamanya memasuki pasaran negara sekali gus merancakkan ekonomi. 

“Kita harap lebih banyak syarikat akan bekerjasama dengan Malaysian Bioeconomy Development Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) dan menggunakan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) sebagai platform untuk memperluas akses ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Dokumen dan Pelancaran Produk di NBiOSHOWCASE 2024 di sini.

Pada majlis tersebut, Chang menyaksikan pertukaran lima dokumen kerjasama antara penggiat industri bioteknologi. 

Sementara itu, Chang menggesa syarikat bioteknologi dan berasaskan bio untuk bekerjasama melalui pendekatan ‘quintuple helix’ bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global selain meningkatkan kapasiti teknologi tempatan. 

“Pendekatan ini melibatkan kerjasama erat antara pihak kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil dengan mengutamakan penjagaan alam sekitar dan dapat memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan industri bioteknologi di negara ini.

“Saya yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0, iaitu membangunkan 30 peratus syarikat berstatus BioNexus di peringkat global dan 70 peratus lagi di peringkat tempatan,” katanya. 

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 16 buah syarikat bioteknologi disenaraikan di bursa saham Malaysia, Taiwan, Nasdaq, Hong Kong dan Australia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan