AM

TIDAK HARAP BANTUAN SEMATA-MATA, OKU GIAT CARI REZEKI LIPAT SAMPUL SURAT

19/07/2024 11:23 AM

SEREMBAN, 19 Julai (Bernama) --Tidak mengharapkan bantuan kerajaan dan orang ramai semata-mata, sekumpulan individu orang kurang upaya (OKU) mengambil inisiatif mencari rezeki dengan mengambil upah melipat sampul surat di Bengkel Seri Sembilan di sini.

Sikap mereka tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang wajar dijadikan penyuntik semangat kepada masyarakat untuk berusaha menambah pendapatan dengan apa jua pekerjaan.

Siti Amisyahida Norazni, 29, yang merupakan OKU kategori masalah pembelajaran berkata bengkel berkenaan sangat membantu dan memberi peluang kepada golongan sepertinya membuktikan kemampuan untuk mencari pendapatan sendiri.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang sudah setahun bekerja di bengkel itu berkata dia mendapat maklumat mengenai kerja berkenaan melalui pegawai di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan carian lanjut di laman sesawang.

“Sebelum ini saya kerja di Bengkel Daya membuat pastri di Klang, Selangor, tapi saya mahu dekat dengan keluarga, sebab itu saya pilih untuk kerja di sini, waktu kerja 8 pagi hingga 5 petang, ayah saya akan hantar dan ambil, Alhamdulillah banyak membantu saya cari rezeki tanpa bergantung kepada orang tua.

“Gaji di sini diperolehi mengikut hasil kerja, banyak lipat banyak gajinya, biasanya saya lipat surat dalam dua kotak, ada yang 500 keping sampul ada 250 keping, tak menentu, boleh dapat RM500 hingga RM800 sebulan,” katanya yang berasal dari Lukut itu kepada Bernama baru-baru ini.

Aqil Nazhan Rahman, 30, pula berkata dia sebelum ini melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi sebelum pegawai di pusat itu mencadangkan kepadanya untuk bekerja di bengkel tersebut.

“Mula-mula saya tak mahu, tapi mak ayah suruh, jadi saya cuba, lama-kelamaan saya rasa seronok kerja di sini, sudah sembilan tahun, lagi pun kalau kerja di tempat lain mungkin saya tak dapat sesuaikan diri atas kekurangan saya ini,” katanya yang juga OKU pembelajaran itu.

Aqil Nazhan yang menetap di Senawang berkata dia mampu menghasilkan kira-kira 500 hingga 1,000 keping sampul surat sehari dan memperoleh sekitar RM800 ke RM1,000 sebulan.

Pengurus bengkel Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata terdapat empat kategori golongan OKU yang bekerja di bengkel itu termasuk masalah anggota, pembelajaran, pekak dan bisu serta mempunyai masalah mental tahap ringan yang berusia antara 20 hingga 70 tahun.

Beliau berkata mereka akan diberi latihan percubaan oleh penyelia terlatih selama tiga bulan sebelum memulakan tugas bergantung kepada keupayaan dengan penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya.

“Kita dapat kontrak daripada Kementerian Kewangan sediakan sampul surat pelbagai saiz untuk agensi kerajaan di beberapa negeri.

“Ia memberi peluang pekerjaan kepada mereka sekali gus tingkatkan keupayaan diri.

“Bengkel ini boleh menghasilkan sehingga sejuta sampul surat sebulan dengan hasil kira-kira RM100,000. 

“Terdapat seramai 50 pekerja yang terdiri daripada 40 lelaki dan 10 wanita OKU di sini,” katanya dengan menambah bengkel itu bermula pada 1978 dan telah melatih hampir 600 OKU.

Dalam pada itu, beliau berkata selain penghasilan sampul surat, bengkel tersebut turut menggajikan OKU untuk kerja pembersihan, pertanian, ternakan dan jahitan kepada mereka yang tidak mempunyai kemahiran melipat sampul surat dengan baik.

“Ada yang tak reti lipat walaupun dah diajar banyak kali, jadi kita bagi mereka menanam cili dan sawi, dan mesin rumput, kita bayar RM10 ke RM36 sehari, hasil tanaman itu dijual secara kecil-kecilan dan juga untuk makan di sini selain ada juga projek ayam kacuk dan kampung,” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, beliau berhasrat mengusahakan projek tanaman yang lebih besar dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri termasuk durian, pisang, ubi kayu serta tanaman kontan seperti serai.

“Kita risau pada masa hadapan penggunaan surat makin berkurangan, kita nak golongan ini terus bekerja, luas kawasan ini kira-kira enam hektar dan kita dah guna 60 peratus, bakinya boleh digunakan untuk pertanian,” katanya sambil menyatakan bahawa bengkel itu turut menerapkan elemen keagamaan.

Selain itu, beliau berkata bengkel berkenaan dapat melaksanakan peranan membantu golongan OKU dengan baik menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk orang ramai, badan korporat dan agensi swasta.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan