POLITIK

QUNUT NAZILAH TIDAK HARUS DIBACA UNTUK DOAKAN KEHANCURAN SETERU POLITIK - SAIFUDDIN

19/07/2024 06:06 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Qunut nazilah tidak seharusnya dibaca untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama umat Islam, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebarang bentuk ekstremis yang melampau seperti itu harus ditolak rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, qunut nazilah dibaca pada situasi antaranya apabila sekumpulan sahabat Nabi dibunuh secara khianat di perigi Ma’una...Rasulullah membaca qunut nazilah selama sebulan untuk memohon Allah SWT membalas perbuatan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan Ahli Parlimen pembangkang membuat bacaan qunut nazilah dipimpin Ahli Parlimen Jasin Zulkilfli Ismail selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Ditanya sejauh mana pihak kerajaan merasakan tindakan membaca doa qunut itu ditujukan kepada mereka, Saifuddin Nasution kemudian merujuk bahawa insiden itu berlaku di Dewan Rakyat.

“Di mana insiden itu berlaku semalam? Di Parlimen. Jadi ia ditujukan kepada Israel di Gaza atau apa? Perbuatan membaca qunut nazilah sejurus selepas keputusan Parlimen, kerana tidak bersetuju dengan tindakan menggantung seorang Ahli Parlimen yang ada sebab musababnya melalui proses Parlimen.

“Saya katakan ini contoh amalan politik melampau, perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon doa kehancuran. Ini bukan amalan Islam. Jadi sejauh mana kerajaan anggap ini sebagai ditujukan kepada kerajaan, situasi semalam dan kondisi, jawapan telah jelas,” katanya.

Beliau berkata perbezaan politik dalam kalangan umat Islam tidak sepatutnya dianggap sebagai berbeza akidah dan keimananan.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan