AM

ISTIADAT PERTABALAN AGONG: CUACA DIRAMAL BAIK SEPANJANG HARI DI IBU NEGARA ESOK - METMALAYSIA

19/07/2024 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik sepanjang hari di ibu negara esok, iaitu pada hari berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Berdasarkan laporan ramalan cuaca yang dipaparkan di laman sesawang MetMalaysia hari ini (setakat 4.30 petang), tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi, petang dan malam bagi seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Suhu minimum dijangka pada 24 darjah Celsius, manakala suhu maksimum mencecah sehingga 34 darjah Celsius.

Dalam tempoh kurang tempoh 24 jam seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara, apabila Sultan Ibrahim akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Balairung Seri Istana Negara, pagi esok.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, 

Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan