AM

FESTIVAL GEORGE TOWN TARIK 100,000 PENGUNJUNG SETIAP TAHUN - EXCO

19/07/2024 04:16 PM

GEORGE TOWN, 19 Julai (Bernama) -- Festival George Town 2024 yang menjadi mercu tanda semangat kreatif Pulau Pinang dalam meraikan kepelbagaian budaya dan etnik yang unik di negeri itu telah menarik lebih 100,000 pengunjung setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata lebih satu dekad, festival itu terus berkembang dan menarik tumpuan ramai pengunjung dalam dan luar negara yang menjadi bukti jelas tentang daya tarikan seni berterusan dibangunkan di Pulau Pinang.

"Tahun ini Festival George Town 2024 mempersembahan lebih 80 program yang menampilkan bakat-bakat dari seluruh dunia dan tempatan, mencerminkan kekayaan budaya George Town serta Pulau Pinang, malah festival itu bertujuan untuk menjadi platform bagi artis antarabangsa dan tempatan untuk membina hubungan yang lebih kukuh serta membangunkan industri seni di negeri ini.

"Seni tidak hanya menyampaikan mesej dan warisan budaya, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan, memperkukuhkan komuniti dan menarik pelancong dari seluruh dunia untuk menghadiri program-program yang ditampilkan sepanjang Festival George Town 2024," katanya semasa berucapa pada Majlis Perasmian Festival George Town, di sini hari ini.

Majlis yang diadakan di Lava Mansion di sini dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Wong berkata dari artis dan penghibur yang memeriahkan Festival George Town 2024 itu hingga perniagaan tempatan yang berkembang dengan meningkatnya jumlah pengunjung, seni memainkan peranan penting dalam merangsang aktiviti ekonomi dan kemakmuran di negeri ini.

"Melalui pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (Petace), saya berazam untuk membangunkan ekosistem ekonomi kreatif negeri ini untuk mempromosikan keunikan George Town yang serba moden dan bersejarah kepada dunia," katanya.

Festival George Town dengan tema "Kini Di Sini" bermula hari ini hingga 28 Julai, bakal membawakan 80 program termasuk 53 program persembahan daripada artis tempatan dalam bentuk seni filem, teater, pameran, seni pemasangan, dan pengalaman deria silang disiplin.

Selain mempersembahkan bakat seni dari Pulau Pinang dan seluruh negara, Festival George Town itu turut dibarisi bakat dari Indonesia, Thailand, Taiwan, Sepanyol, Australia, Jepun, Lithuania, Bulgaria, Colombia, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam, China dan India.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan