AM

PELAJAR USM DITAWAR IKUTI PROGRAM SKY GLOBAL APPRENTICESHIP DI TURKIYE

19/07/2024 04:50 PM

GEORGE TOWN, 19 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA) Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditawarkan mengikuti Program Sky Global Apprenticeship di Turkish Aerospace di Ankara, Turkiye pada 2 hingga 27 Sept depan.

Penyerahan surat tawaran kepada Seaan Manuel Pillay disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Cyberjaya pada 16 Julai lepas, dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Prof Datuk Dr Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed. 

Narimah berkata kejayaan Seaan merupakan satu pencapaian besar bagi universiti dan sektor pendidikan tinggi Malaysia.

“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman kerja antarabangsa tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri di peringkat global.

“Ini selaras dengan usaha USM untuk melahirkan siswazah yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dalam bidang aeroangkasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program Sky Global Apprenticeship merupakan satu daripada inisiatif berimpak tinggi di bawah kerjasama Konsortium Universiti Malaysia (CMU), Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan TUSAS Malaysia, yang dimeterai pada 7 April tahun lepas.

PPKA USM pula merupakan antara pusat pengajian yang giat dalam bidang penyelidikan yang berkaitan.

Program tersebut direka khas buat pelajar Malaysia bagi memastikan mereka dapat dilatih secara profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa selain didedahkan dengan pengalaman praktikal termasuk avionik, reka bentuk elektronik, pengaturcaraan, reka bentuk struktur pesawat dan pemasangan sistem pesawat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan