AM

ANWAR UCAP TAKZIAH KEPADA RAKYAT VIETNAM ATAS PEMERGIAN NGUYEN PHU TRONG

19/07/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada rakyat Vietnam atas pemergian Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong hari ini.

Anwar dalam hantaran Facebook beliau berkata pemergian Nguyen Phu Trong satu kehilangan besar.

"Visi beliau untuk mengekalkan autonomi strategik dan mempromosikan tadbir urus yang baik di Vietnam sangat memberi kesan kepada saya ketika kami bertemu di Hanoi pada Julai 2023.

"Visi Setiausaha Agung Trong untuk hubungan Vietnam–Malaysia akan kekal. Warisan beliau akan memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan di Vietnam dan di seluruh Asia Tenggara.

"Ingatan saya tulus kepada mereka yang rapat dengan beliau – keluarga, sahabat dan rakan sekerjanya – semasa kehilangan ini," kata Anwar.

Nguyen Phu Trong, 80, dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan