AM

AKTA 672: PULAU PINANG AKAN BUAT KEPUTUSAN TAHUN INI - CHOW

22/07/2024 03:59 PM

GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang akan membuat keputusan berhubung perbincangan mengenai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dengan Kerajaan Pusat pada tahun ini. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia berikutan akta tersebut perlu diselarikan sama ada boleh diterima pakai atau tidak di peringkat kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri telah memulakan perbincangan mengenai Akta 672 dengan kerajaan pusat, sama ada terima atau tidak di Pulau Pinang ia tertakluk kepada rundingan kita.

"Keputusan akan dimuktamadkan pada tahun ini dalam beberapa bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Mac lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk berbincang berhubung Akta 672 setelah tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara berkenaan sebelum ini dan ketika ini, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengguna pakai akta itu.

Akta berkenaan adalah untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Sementara itu, Chow menjelaskan tiada kebakaran baharu dikesan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, dekat sini selepas kebakaran di tapak itu dapat dipadam sepenuhnya malam tadi.

Beliau berkata setakat ini keadaan di tapak pelupusan sampah itu berada dalam keadaan terkawal, namun pemantauan berterusan sedang dijalankan 

"Kebakaran di tapak pelupusan sampah itu berlaku pada tengah hari semalam dan pada waktu malam keadaan sudah dikawal, tidak ada kebakaran baharu sejak pagi tadi dan kawasan berkenaan dipantau rapi oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP).

"Cuaca panas pada masa ini dikesan menjadi punca berlakunya kebakaran di tapak pelupusan sampah itu kerana tapak berkenaan terbuka dan ia terdedah kepada risiko kebakaran dalam keadaan cuaca panas sekarang ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut semalam membabitkan kawasan seluas 3,500 meter persegi.

Tapak pelupusan sampah tersebut pernah terbakar pada Januari 2022 melibatkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi dan ia berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas 20 hari terbakar.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan