AM

KKDW PERUNTUK RM1.7 JUTA LAKSANA PPU TAHUN INI

22/07/2024 04:11 PM

KANGAR, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan RM1.7 juta untuk pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini KKDW memaklumkan 1,200 usahawan desa disasar menerima manfaat itu dengan jangkaan peningkatan pendapatan antara 10 hingga 30 peratus selepas tempoh setahun mereka dipasarkan secara dalam talian.

"PPU di bawah Program Desamall ini adalah inisiatif tambahan yang dilaksanakan kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan pemasaran produk," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis perasmian PPU Zon Utara oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW Mohd Sabri Ramly yang mewakili Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar di sini hari ini.

KKDW berkata PPU memudahkan usahawan mengadaptasi dan menceburi perniagaan secara dalam talian melalui 12 modul dengan kerjasama 26 rakan strategik kementerian iaitu Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, Rural Capital Berhad, Mesinkira, Bayarlah, Fasspay, Boost Biz, CelcomDigi;

Selain itu Maxis, Troopers, Ohsem Ads, ShopeeFood, Maybank Sama-sama Lokal, Lazada, Shopee, Peasy, MyMall, Petron Malaysia, Halal Development Corporation (HDC), IPVolusi, TikTok Shop Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDeC), Dattel Sdn Bhd, Lalamove dan MyNIC.

"Enam siri jelajah PPU dirancang KKDW hingga hujung tahun ini, yang meliputi Pahang, Sabah dan Sarawak. Siri 1 dan 2 program ini pada Februari dan Jun lepas diadakan di Kota Damansara dan Melaka, yang disertai 361 usahawan desa," menurut kenyataan itu.

Selaras dengan kepesatan transformasi digital, KKDW turut mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan teknologi pintar iaitu Kecerdasan Buatan (AI) dan Kecerdasan Pengguna (CI) dalam pelaksanaan program berkenaan.

"Penggunaan teknologi ini adalah untuk menganalisis keperluan setiap usahawan desa yang hadir bagi mengenal pasti dan mencadangkan penyelesaian digital yang bersesuaian dalam mendigitalkan pengurusan dan pengoperasian perniagaan yang diusahakan," kata KKDW. 

Sementara itu seorang usahawan Kristina a/p Bah Uda, 52, yang merupakan Orang Asli Suku Kaum Semai dari Tapah, Perak berkata PPU itu sangat membantunya meluaskan pasaran produk ke seluruh negara dengan menggunakan beberapa platform online seperti Tiktok dan Shopee selain Facebook.

"Saya mula berniaga tahun lepas dengan memasarkan produk buatan sendiri menggunakan bahan-bahan asas antaranya gula, kunyit, kopi dan lain-lain untuk dijadikan scrub badan, Facemask, dan minyak wangi," katanya.

Berkongsi pendapat sama Muslina Mat Isa, 42, dari Pendang, Kedah berkata pada awalnya dia hanya menjual kerepek dengan meletakkan produk itu di kedai-kedai runcit, namun dengan PPU itu dia dapat memasarkan produknya ke seluruh negara secara dalam talian.

"Saya menjual kerepek sejak 2011, terdapat 10 jenis kerepek saya jual, dan saya juga dibantu oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di samping mendapat bantuan peralatan membuat produk.

"Dengan mengikuti PPU ini saya yakin mampu memasarkan produk melalui platform dalam talian ke seluruh negara dengan lebih berkesan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan