JENAYAH & MAHKAMAH

PENGARAH SYARIKAT BARANGAN LUSUH DISAMUN RM200,000 DI PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT

23/07/2024 03:23 PM

SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat barangan lusuh kerugian RM200,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Seksyen 33 di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika kejadian pada 1.27 tengah hari itu, mangsa yang berusia 54 tahun dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di kawasan berhampiran.

Beliau berkata dua lelaki menaiki motosikal dan memakai topi keledar berhenti di sebelah kiri kereta mangsa sebelum sebuah kereta jenis Perodua Alza bertindak menghalang laluan dengan memintas di hadapan kereta berkenaan.

"Pembonceng motosikal bertindak memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri manakala suspek yang menaiki kereta melarikan beg mengandungi wang tunai dalam kereta mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun katanya mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.  

Mohd Iqbal berkata semakan terhadap nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Alza mendapati ia palsu dan polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan