AM

RABUN SEJAK LAHIR TIDAK HALANG ATLET PARA SUKMA RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG STPM

23/07/2024 05:20 PM

KOTA BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Rabun sejak lahir tidak menjadi penghalang untuk Noorhaslin Rosidi Sabri, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Noorhaslin yang juga merupakan atlet Sukan Para Malaysia (Para Sukma) berkata beliau tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dengan nilai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 membabitkan lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata kanta pembesar seakan menjadi ‘rakan baik’ untuk membantu beliau ketika belajar termasuk mengulang kaji pelajaran selain ada ketikanya perlu membaca bahan bacaan pada jarak yang dekat.

"Walaupun serba kekurangan dan tidak memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak mematahkan semangat saya untuk menebus kembali kegagalan itu dengan meraih keputusan cemerlang STPM kali ini.

"Antara kekangan terpaksa saya lalui ketika mengikuti pembelajaran di dalam kelas ialah penglihatan yang sangat terhad dengan perlu menggunakan telinga sahaja untuk mendengar serta mengingati apa diajarkan oleh guru,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMKA Naim Lilbanat, di sini hari ini.

Noorhaslin yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata memandangkan beliau mempunyai kekurangan diri berbanding rakan-rakan yang lain, persediaan lebih awal perlu dilakukannya seperti bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

"Penglihatan saya terjejas sejak lahir lagi berikutan tidak mempunyai iris mata hitam sehingga menyebabkan saya mempunyai masalah rabun yang kronik.

"Saya akan menelaah sekurang-kurangnya satu atau dua jam pada awal pagi kerana tidak boleh membaca dalam tempoh yang terlalu lama.

“Untuk mengelakkan mata saya sakit dan kadangkala pernah mengeluarkan lendir, saya akan berehat seketika sebelum sambung semula mengulang kaji pelajaran," katanya.

Beliau berkata setakat ini dia sudah menjalani dua kali pembedahan mata ketika berumur 15 dan 17 tahun untuk memasukkan kanta serta implan dan hasilnya ada sedikit perubahan serta masih mempunyai janji temu di hospital untuk rawatan susulan mata untuk tempoh enam bulan sekali.

Noorhaslin yang bercita-cita menjadi seorang guru berkata beliau rasa bangga dapat seimbangkan kejayaannya dalam bidang akademik dan sukan kerana akan mewakili negeri Selangor menerusi kategori olahraga sempena temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada September depan.

"Saya akan menyertai acara lari 100 dan 200 meter serta lompat jauh dan berharap mampu meraih pingat untuk membuktikan bahawa kekurangan yang dialami tidak menjadi halangan untuk kekal aktif," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan